NEW DELHI: Negara anggota BRICS menggesa penarikan sekatan ekonomi, perdagangan dan kewangan terhadap Cuba, menurut deklarasi pemimpin yang diterima pakai pada sidang kemuncak pertubuhan itu di New Delhi dan diterbitkan pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kami menegaskan semula keperluan untuk menamatkan langkah-langkah ekonomi, perdagangan dan kewangan terhadap Cuba selaras dengan Resolusi UNGA A/RES/80/4," menurut dokumen tersebut.
Negara-negara BRICS turut menyatakan kebimbangan mengenai situasi di Cuba, sambil menegaskan bahawa Amerika Latin dan Caribbean ialah zon aman, tambah kenyataan itu.
"Dengan menekankan status Amerika Latin dan Caribbean sebagai zon aman yang dibina atas dasar saling menghormati, penyelesaian pertikaian secara aman dan prinsip tidak campur tangan, kami melahirkan kebimbangan mendalam terhadap situasi berhubung Cuba akibat pengetatan langkah sekatan unilateral terhadap negara itu, kesan buruknya terhadap ekonomi serta bekalan tenaga Cuba, dan impak kemanusiaan yang membimbangkan terhadap rakyat Cuba," menurut deklarasi itu.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan tekanan politik dan ekonomi terhadap Cuba.
Pada akhir Januari, AS meluluskan pengenaan duti ke atas import dari negara-negara yang membekalkan minyak kepada Cuba dan mengisytiharkan darurat susulan dakwaan ancaman Cuba terhadap keselamatan negara AS.
Sidang kemuncak BRICS ke-18 kini berlangsung pada 12-13 Sept di New Delhi.
BRICS ialah pertubuhan antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2011.
Beberapa negara lagi telah menyertai BRICS sejak 2024. India memegang jawatan pengerusi BRICS tahun ini mengikut penggiliran.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
TAG: India, New Delhi, BRICS, sekatan, Cuba