Pemimpin dunia mengucapkan tahniah atas kejayaan misi menyelamatkan 13 pemain muda pasukan bola sepak "Mu Pa" dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai selama 17 hari.

Lima mangsa terakhir dibawa keluar dengan selamat oleh pasukan penyelamat pada malam tadi selepas lapan rakan mereka dikeluarkan dari gua yang dimasuki air itu dalam misi yang penuh berisiko pada Ahad dan Isnin.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataan segera menerusi laman sosial Twitter beliau @realDonaldTrump mengucapkan tahniah atas kejayaan itu.

"Bagi pihak Amerika Syarikat, tahniah diucapkan kepada Unit SEAL Tentera Laut Thailand dan semua pihak yang terlibat atas kejayaan menyelamatkan 12 remaja lelaki dan jurulatih mereka dari gua yang berbahaya di Thailand itu. Detik paling indah - semua berjaya diselamatkan, misi paling cemerlang!" kata beliau.

Markas Pasifik Amerika Syarikat (PACOM) menghantar pasukan pakar ke gua itu untuk membantu operasi menyelamat.

Perdana Menteri Britain Theresa May juga melahirkan kegembiraan atas kejayaan di Chiang Rai sambil berkata menerusi catatan dalam laman sosial Twitter beliau @Theresa_May bahawa, "Dunia sedang memerhatikan dan menyanjung keberanian semua mereka yang terlibat."

Pakar-pakar gua dari Britain telah memainkan peranan penting sepanjang misi menyelamat dan merupakan pasukan penyelamat pertama menemukan kumpulan remaja itu dan jurulatih mereka dalam gua sembilan hari selepas mereka hilang.

BACA: 'Kapal selam mini dah sampai' - Elon Musk

BACA: 'Saman Gunan sentiasa jadi wira di hati saya' - Balu


Selain pakar-pakar dari Amerika Syarikat dan Britain, pasukan penyelamat dari negara-negara lain iaitu Myanmar, Laos, Filipina, Jepun, China dan Australia turut menyertai misi yang berisiko itu, mencerminkan bahawa operasi itu benar-benar bersifat multinasional.

Sementara itu, pasukan bola sepak England, Kelab Bola Sepak Manchester United atau lebih dikenali di seluruh dunia sebagai "Red Devils" juga berasa lega kerana mangsa terakhir daripada pasukan bola sepak Mu Pa berjaya dibawa keluar dengan selamat dari gua pada Selasa.

Pasukan itu dalam satu kenyataan menerusi laman Twitter juga menyampaikan jemputan kepada 13 pemain remaja itu dan jurulatih mereka ke Stadium Old Trafford.

"Kami ingin menjemput pasukan dari Kelab Bola Sepak Ma Pu dan anggota penyelamat ke Old Trafford pada musim akan datang ini," kata pasukan itu.

BACA: Akhirnya jurulatih diselamatkan, trauma mangsa gua Tham Luang berakhir

BACA: Kenali wira-wira penyelam gua Tham Luang


Melalui jemputan itu, Manchester United menjadi organisasi bola sepak yang kedua selepas FIFA yang juga menjemput pasukan itu dan jurulatih mereka menyaksikan Final Piala Dunia 2018 di Stadium Luzhniki di Moscow pada 15 Julai.

Pasukan itu mungkin terlepas peluang untuk ke Piala Dunia kerana mereka ini menerima rawatan selepas mengharungi pengalaman yang getir itu.

-- BERNAMA