Kejayaan Iraq membebaskan Mosul daripada cengkaman militan Daish, mendapat perhatian pemimpin dunia yang mengucapkan tahniah sebaik sahaja berita itu diumumkan, lapor agensi berita Xinhua.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi semalam mengisytiharkan kejayaan tentera Iraq membebaskan bandar terakhir yang dikuasai Daish itu setelah menghadapi tentangan selama hampir sembilan bulan.

"Saya isytiharkan kepada dunia, penguasaan Daish telah berakhir, kerajaan militan yang diselubungi keganasan yang bermula di Mosul sejak tiga tahun yang lalu, telah ditewaskan," katanya ketika berucap di Mosul.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyambut berita kemenangan itu sebagai pencapaian penting dalam memerangi kumpulan pelampau dan aktiviti.

Guterres, menerusi satu kenyataan, memberi penghormatan kepada kerajaan Iraq dan rakyat negara itu atas keberanian, keazaman dan ketabahan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson berkata pembebasan Mosul adalah hasil kejayaan usaha masyarakat antarabangsa yang diketuai oleh pasukan keselamatan Iraq.

Beliau turut berjanji AS dan sekutunya akan sentiasa bekerjasama dengan PBB dalam usaha mengekalkan kestabilan di Mosul dan membantu penduduknya yang terpaksa menjadi pelarian akibat perang, dapat kembali ke kampung halaman masing-masing.

Tillerson berkata masih banyak yang perlu dilakukan untuk menghapuskan saki-baki kumpulan Daish yang masih ada, sekaligus memberi jaminan AS dan sekutunya akan bersama-sama pihak berkuasa Iraq untuk tujuan itu.

Mosul yang terletak kira-kira 400 kilometer di utara Baghdad, mula dikuasai militan Daish sejak Jun 2014. Kumpulan militan itu menjadikan Mosul sebagai pangkalan mereka, selain menguasai beberapa kawasan di wilayah utara dan barat Iraq.

Selain AS, China menerusi jurucakap Kementerian Luarnya turut bersama-sama mengucapkan tahniah kepada Iraq dan berjanji menyokong Iraq dalam mengekalkan kestabilan dan bersama-sama membantu pertumbuhan ekonominya.

Menteri Luar New Zealand Gerry Brownlee mengumumkan sumbangan negaranya sebanyak NZ$1.4 juta (US$1.02 juta) dana bantuan segera untuk pembangunan di Iraq.

Selain itu, beberapa negara di Timur Tengah tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Iraq, termasuk Liga Arab yang diwakili Setiausaha Agungnya Ahmed Abul Gheit yang menyifatkan ia satu pencapaian penting.

Menteri Luar Syria pula berkata kejayaan di Mosul adalah kejayaan semua pihak yang menentang ancaman Daish selama ini.

Beliau turut menekankan kerjasama yang dijalin diantara pihak berkuasa Syria dan Iraq dalam menghapuskan saki baki kumpulan Daish dan memberi jaminan kumpulan militan itu tidak akan muncul lagi di kedua-dua negara Syria dan Iraq.

Menteri Pertahanan Iran Hossein Dehqan turut serta bersama-sama komuniti antarabangsa meraikan kejayaan pasukan tentera Iraq itu. "Kejayaan di Mosul diharap dapat menamatkan perang proksi di rantau itu," katanya.

-- BERNAMA