ROME/BRUSSELS: Majoriti pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menandatangani sepucuk surat kepada Suruhanjaya Eropah yang menyuarakan "kebimbangan serius" terhadap kemasukan besar-besaran pendatang ke wilayah Ceuta milik Sepanyol di Afrika Utara, sambil menggesa blok itu mengambil tindakan untuk melindungi sempadan luarnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Surat yang disiarkan kerajaan Itali pada Sabtu dan ditandatangani oleh 22 daripada 27 negara anggota EU itu dikemukakan oleh Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen.
"Kita tidak boleh membenarkan kemasukan besar-besaran tanpa kawalan, eksploitasi isu migrasi atau ancaman hibrid lain sehingga mewujudkan tanggapan bahawa kemasukan secara haram ke EU adalah mungkin.
"Tanggapan bahawa kemasukan haram seseorang pendatang boleh bertukar menjadi kebenaran untuk tinggal secara sah.
"Persepsi sedemikian akan menggalakkan lebih banyak cubaan, menjejaskan keyakinan terhadap dasar migrasi bersama kita dan memberi kesan kepada semua negara anggota," menurut surat itu.
Kira-kira 50,000 pendatang memasuki Ceuta dari Maghribi menjelang Jumaat, sekali gus menyebabkan wilayah yang mempunyai kira-kira 85,000 penduduk itu menerima kemasukan besar-besaran dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Sekurang-kurangnya 67 orang maut ketika cuba memasuki Ceuta.
Walaupun pihak berkuasa Sepanyol memaklumkan bahawa kebanyakan pendatang berkenaan telah pulang secara sukarela ke Maghribi, beberapa pemimpin EU mengkritik kerajaan Sepanyol berhubung cara krisis itu ditangani.
Dalam surat yang turut ditandatangani Canselor Jerman Friedrich Merz, Perdana Menteri Poland Donald Tusk dan Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis, para pemimpin berkenaan mengulangi kritikan mereka dengan menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Agung Sepanyol baru-baru ini menjadi punca peningkatan mendadak jumlah ketibaan pendatang.
Pemimpin EU turut menggesa "tindak balas Eropah yang segera dan terselaras", selain mendesak Ireland selaku presiden bergilir Majlis Kesatuan Eropah supaya segera mengadakan mesyuarat menteri dalam negeri bagi membincangkan perkara itu.
-- BERNAMA-dpa