Skip to main content

Dunia

Pemimpin Singapura, Indonesia adakan perbincangan peringkat tinggi

Balakrishnan menyifatkan lawatannya ke Jakarta turut melibatkan libat urus pada peringkat tertinggi, termasuk pertemuan dengan rakan sejawatannya yang baru dilantik, Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir, serta kunjungan hormat terhadap Prabowo. - Gambar Reuters
Balakrishnan menyifatkan lawatannya ke Jakarta turut melibatkan libat urus pada peringkat tertinggi, termasuk pertemuan dengan rakan sejawatannya yang baru dilantik, Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir, serta kunjungan hormat terhadap Prabowo. - Gambar Reuters

Advertisement

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah berhubung pada peringkat tinggi susulan cabaran yang dihadapi dalam hubungan dua hala baru-baru ini.

Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan berkata, komunikasi itu telah mewujudkan komitmen politik di kedua-dua pihak untuk melakukan "apa yang perlu", dengan tumpuan kini beralih kepada usaha melaksanakan rancangan dan menunaikan komitmen berkenaan.

"Saya tidak boleh membincangkan butirannya, tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa komunikasi telah berlaku pada peringkat tertinggi antara Perdana Menteri saya dengan Presiden Prabowo," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan hubungan dua hala antara Singapura dengan Indonesia susulan perkembangan terkini, serta butiran pertemuannya dengan Prabowo pada hari yang sama.

Transkrip temu bual itu disediakan oleh Kementerian Luar Singapura.

Balakrishnan menyifatkan lawatannya ke Jakarta turut melibatkan libat urus pada peringkat tertinggi, termasuk pertemuan dengan rakan sejawatannya yang baru dilantik, Menteri Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir, serta kunjungan hormat terhadap Prabowo.

"Kami mengadakan perbincangan yang baik, jujur dan ikhlas, serta menghasilkan beberapa pendekatan konstruktif yang sebahagiannya sedang kami laksanakan," katanya.

Balakrishnan berkata, pengumuman mengenai Pasukan Petugas Bersama pada Selasa merupakan pengiktirafan bahawa masalah jerebu ialah isu rentas sempadan yang memerlukan tindak balas bersama melalui kerjasama antara Indonesia dengan Singapura.

Menteri itu berkata, pasukan petugas berkenaan bertujuan memudahkan tindak balas bersama, meningkatkan perkongsian maklumat dan memperkukuh penyelarasan bagi menghalang syarikat daripada melakukan perbuatan antisosial yang secara terus terang, berbahaya.

"Kami juga boleh mempertanggungjawabkan mereka dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perkara ini tidak berulang," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement