JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata usaha pemulihan di Aceh Tamiang yang dilanda banjir telah mencapai hampir 100 peratus, menandakan kemajuan ketara susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang memusnahkan banyak kawasan di daerah itu pada November lepas.
Beliau berkata kemajuan pesat itu mencerminkan penyelarasan berkesan antara pihak berkuasa, sambil menambah bahawa usaha pemulihan masih diteruskan di kawasan lain yang turut terjejas di seluruh negara.
Advertisement
“Tiada lagi penduduk tinggal di khemah, 100 peratus. Semua telah berpindah dari khemah ke kediaman sementara, dan pembinaan perumahan kekal juga telah bermula.”
“Bekalan elektrik hampir pulih sepenuhnya, hampir 100 peratus, dengan hanya lima kampung di seluruh Aceh masih terjejas,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden pada Sabtu.
Terdahulu, Prabowo menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama penduduk di sebuah masjid di kawasan kediaman sementara.
Presiden itu turut berkata bantuan kerajaan telah diagihkan sepenuhnya kepada komuniti terjejas.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua anggota dan agensi yang terlibat, termasuk tentera, polis, pihak berkuasa pengurusan bencana serta kerajaan tempatan, atas tindakan pantas dan komitmen mereka dalam membantu komuniti terjejas.
Banjir di Aceh Tamiang merupakan sebahagian daripada bencana lebih besar yang melanda beberapa wilayah di Sumatera pada November lepas, menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal dan merosakkan infrastruktur utama.
-- BERNAMA