Kebanyakan penduduk di Delhi terpaksa menyambut Krismas di dalam kediaman masing-masing tahun ini berikutan kualiti udara di bandar raya itu masih dalam paras ‘bahaya dan darurat’ untuk empat hari berturut-turut.

Reuters melaporkan, keadaan jerebu di ibu negara India itu merupakan krisis terburuk tahun ini.

Memetik sumber rasmi, pencemaran itu dilaporkan tidak akan berubah dalam masa sekurang-kurangnya tiga hari lagi susulan keadaan suhu udara sejuk.

Pihak berkuasa juga telah menjalankan langkah darurat pada Isnin yang mengarahkan supaya kilang-kilang dan kerja-kerja pembinaan berhenti beroperasi.

Pegawai kerajaan Delhi berkata, pencemaran itu membuatkan ramai yang tidak mahu keluar rumah, berdasarkan keadaan lalu lintas yang lengang.

Sementara itu, sumber rasmi lapangan terbang Delhi dipetik berkata, beberapa penerbangan domestik dan antarabangsa mengalami kelewatan jadual berlepas akibat jarak pandangan yang teruk.

Indeks kualiti udara Delhi, yang menyukat jumlah partikel toksik, memberikan bacaan purata 420 pada pagi Selasa, sedikit baik berbanding bacaan 449 hingga 450 pada dua hari sebelumnya.

Data daripada Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat itu menetapkan, sebarang bacaan di atas 100 adalah tidak sihat.

Delhi merupakan antara bandar utama dunia yang mempunyai kualiti udara yang paling teruk, selepas bertahun-tahun menjadi negara yang menggunakan janakuasa arang batu.

"Tiada usaha dilakukan pihak kerajaan untuk mengambil langkah penting demi bembendung masalah pencemaran," ujar aktivis kanan Greenpeace India, Sunil Dahiya.

Dahiya juga berkata, kerajaan perlu segera menutup operasi sekolah dan menggesa orang ramai menghindari aktiviti di luar rumah memandangkan keadaan pencemaran yang mencecah paras bahaya.

Sebelum ini, Dahiya pernah mencadangkan pihak pemerintah supaya mengenakan caj parkir lebih tinggi untuk mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya, selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar arang batu.