Skip to main content

Dunia

Pendaki Nepal Nirmal Purja maut dalam runtuhan salji di Broad Peak

[TB]_Nirmal Purja_Instagram nimsdaistore
Kematian Purja, 43 tahun disahkan Elite Expedition menerusi kenyataan di media sosialnya pada Sabtu. - Foto Instagram nimsdaistore
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas anggota pasukan khas kelahiran Nepal, Nirmal Purja, yang mencipta kejutan dalam dunia pendakian dilaporkan meninggal dunia dalam runtuhan salji di Broad Peak, Pakistan.

Kematian Purja, 43 tahun disahkan Elite Expedition menerusi kenyataan di media sosialnya pada Sabtu.

“Dengan penuh kesedihan dan hati yang amat berat, kami mengesahkan bahawa Nirmal ‘Nimsdai’ Purja meninggal dunia secara tragis susulan runtuhan salji di Broad Peak,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, beberapa anggota ekspedisi lain turut disahkan tidak terselamat dalam kejadian berkenaan.

Kenyataan itu menambah, pihaknya turut berkabung atas kehilangan semua mangsa tragedi itu, termasuk rakan pendakian dan jurupandu yang dipercayai rapat dengan Purja iaitu Pur Bahadur Gurung (Yukta) dan Nima Sherpa.

“Ingatan, doa dan ucapan takziah yang tidak terhingga kami tujukan kepada keluarga, rakan-rakan serta insan tersayang mereka.

“Tiada kata-kata yang mampu mengubati kesakitan akibat kehilangan yang tidak terbayangkan ini dan kami memohon agar semua pihak menghormati privasi keluarga ketika mereka melalui tempoh berkabung,” jelas kenyataan itu lagi.

Pihak berkuasa pendakian gunung Pakistan sebelum ini memaklumkan tiada komunikasi diterima daripada kumpulan berkenaan selepas kejadian runtuhan salji.

Purja berada di Broad Peak sebagai sebahagian daripada satu ekspedisi apabila runtuhan salji melanda kumpulan itu pada 30 Julai.

Dikenali sebagai “Nims Dai” di Nepal dan dalam kalangan komuniti pendaki gunung antarabangsa, Purja menjadi antara tokoh paling dikenali dalam dunia pendakian moden selepas melaksanakan misi yang digelarnya sebagai "Project Possible".

Pada 2019, mendiang berusaha mendaki kesemua 14 puncak berketinggian lebih 8,000 meter dalam tempoh tujuh bulan, tetapi berjaya menyelesaikan cabaran itu dalam tempoh enam bulan enam hari.

Purja dilahirkan pada 25 Julai 1983 di kampung Dana, daerah Myagdi, Nepal, dan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dibesarkan di Chitwan.

Dia dianugerahkan Member of the Order of the British Empire (MBE) pada 2018 atas khidmat ketenteraan serta pencapaian dalam bidang pendakian gunung.
 

Must Watch Video

Advertisement