LONDON: Sebuah buku baharu tulisan adik kepada mendiang Puteri Diana, Earl Charles Spencer mencetuskan kontroversi di Britain selepas beberapa petikan awal yang diterbitkan media tempatan mengandungi dakwaan sensasi berkaitan perkahwinan Diana dengan Raja Charles III serta peristiwa selepas kematiannya pada 1997.
Buku berjudul Swan Song itu dijadualkan diterbitkan minggu depan, namun petikan yang disiarkan secara eksklusif oleh Daily Mail telah menarik perhatian ramai dan mengundang reaksi luar biasa daripada Istana Buckingham.
Dalam satu kenyataan, jurucakap istana berkata pihaknya tidak mengulas kandungan buku sebagai prinsip rasmi, namun menegaskan bahawa kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga boleh mempengaruhi pertimbangan dan memori seseorang walaupun bertahun-tahun selepas sesuatu tragedi berlaku.
Berikut antara dakwaan utama yang terkandung dalam buku berkenaan:
Charles didakwa kelihatan "terlalu gembira" selepas kematian Diana
Antara dakwaan paling kontroversi ialah gambaran Spencer mengenai reaksi Charles selepas mendapat berita kematian Diana dalam nahas jalan raya di Paris pada 31 Ogos 1997.
Spencer menulis ketika beliau menghubungi bekas abang iparnya selepas dimaklumkan bahawa Diana meninggal dunia, Charles kedengaran seolah-olah "terlalu gembira", malah disamakan seperti "pemenang loteri."
Menurut Spencer, beliau percaya reaksi awal Charles mungkin lebih tertumpu kepada kebebasannya untuk berkahwin dengan wanita yang dicintainya berbanding meratapi kehilangan bekas isterinya.
"Kita akan lupakan dia tidak lama lagi"
Dalam satu lagi perbualan telefon yang berlaku ketika mereka berdebat mengenai sama ada Putera William dan Putera Harry perlu berjalan di belakang keranda ibu mereka semasa upacara pengebumian, Spencer mendakwa, Charles menunjukkan kemarahan yang ketara.
Beliau mendakwa, Charles kemudian melontarkan kata-kata yang memperlihatkan rasa tidak senang terhadap populariti Diana.
Menurut Spencer, Charles berkata: "Percayalah, kita akan melupakan dia tidak lama lagi."
Spencer menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang sukar dipercayai sehingga beliau segera menamatkan panggilan tersebut.
Perkahwinan Charles dan Diana dikatakan bermula tanpa cinta
Spencer turut mengimbas kembali hubungan tidak bahagia antara kakaknya dan Charles sebelum mereka berkahwin.
Beliau mendakwa, mendiang Diana pernah mahu membatalkan pertunangan selepas Charles menunjukkan minat yang sangat sedikit terhadapnya ketika sambutan hari lahir ke-21 Andrew Mountbatten-Windsor.
Menurut Spencer, Diana memberitahu bapanya bahawa beliau tidak sanggup meneruskan perkahwinan dengan seorang lelaki yang jelas tidak mencintainya.
Namun, bapanya didakwa enggan membenarkan pertunangan itu dibatalkan.
Spencer juga mendakwa, sehari sebelum majlis perkahwinan mereka pada 1981, Charles memberitahu Diana bahawa beliau gembira untuk berkahwin dengannya, tetapi tidak benar-benar mencintainya.
Komen mengenai berat badan Diana
Beberapa hari selepas pertunangan mereka diumumkan, Spencer mendakwa Charles memegang pinggang Diana sebelum berkata: "Agak berisi di sini, bukan?"
Komen itu dikatakan memberi kesan mendalam kepada Diana yang ketika itu berdepan masalah bulimia.
Menurut Spencer, ukuran pinggang Diana mengecil secara ketara antara tempoh pertunangannya sehingga hari perkahwinan.
Ratu Elizabeth II mahu kembalikan gelaran diraja Diana
Spencer turut mendakwa bahawa pada hari pengebumian Diana, Ratu Elizabeth II menawarkan untuk mengembalikan gelaran "HRH" (His/Her Royal Highness) yang ditarik balik selepas perceraian Diana dan Charles.
Menurut beliau, Diana amat terluka dengan keputusan menarik balik gelaran tersebut yang disifatkannya sebagai tindakan kecil hati dan penuh dendam.
Bagaimanapun, Spencer berkata, beliau menolak tawaran itu kerana merasakan kakaknya tidak akan menganggap pengiktirafan selepas kematian sebagai sesuatu yang bermakna.
"Saya tahu bagaimana Diana akan melihat perkara itu. Diana sudah tiada," tulisnya.
Istana Buckingham tampil pertahan Raja Charles
Penerbitan petikan buku itu menghidupkan semula perdebatan lama mengenai hubungan Charles dan Diana yang sering menjadi perhatian dunia.
Kenyataan balas yang dikeluarkan Istana Buckingham juga dianggap luar biasa memandangkan keluarga diraja Britain lazimnya tidak mengulas kandungan buku atau dakwaan berkaitan kehidupan peribadi mereka.
Setakat ini, Raja Charles III belum memberikan sebarang respons peribadi terhadap dakwaan yang dikemukakan dalam Swan Song, manakala perhatian kini tertumpu kepada penerbitan penuh buku tersebut yang dijangka mencetuskan perbincangan lebih meluas mengenai sejarah keluarga diraja Britain. - Agensi