Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: UK laksana operasi besar‑besaran sokong ratusan ribu warganya

Qatar Airways and Emirates
Beberapa lapangan terbang antarabangsa, termasuk Dubai, Tel Aviv, Doha, Bahrain dan Kuwait terjejas, menyebabkan penerbangan dibatalkan atau dialihkan secara besar‑besaran. - Foto REUTERS

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) mengaktifkan salah satu operasi konsular terbesar dalam sejarahnya bagi membantu sekurangkurangnya 200,000 rakyat Britain yang berada di wilayah Teluk, ketika Iran meneruskan siri serangan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Setakat ini, lebih 94,000 warga Britain telah mendaftarkan lokasi dan maklumat hubungan mereka dengan Pejabat Luar Negeri (FCDO), majoritinya pelancong di Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau individu yang sedang transit di lapangan terbang utama rantau tersebut.

Advertisement

Para pegawai kerajaan sedang merangka pelan evakuasi kecemasan sekiranya ruang udara di Asia Barat kekal ditutup susulan gelombang serangan Iran.

Beberapa lapangan terbang antarabangsa, termasuk Dubai, Tel Aviv, Doha, Bahrain dan Kuwait terjejas, menyebabkan penerbangan dibatalkan atau dialihkan secara besarbesaran.

Pejabat Luar Negeri turut menggesa rakyat Britain di Bahrain, Israel, Kuwait, wilayah Palestin, Qatar dan UAE untuk mendaftarkan kehadiran mereka bagi menerima kemas kini terus melalui sistem amaran krisis.

Ini merupakan kali pertama program tersebut meliputi begitu banyak negara serentak dan menangani jumlah pendaftaran yang begitu besar.

Warganegara UK pada masa ini dinasihatkan untuk kekal di lokasi masingmasing, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengikuti nasihat perjalanan rasmi yang dijangka akan berubah dengan cepat.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, pada Ahad malam berkata bahawa sekitar 200,000 rakyat Britain kini berada di rantau tersebut, termasuk penduduk tetap, keluarga yang bercuti serta mereka dalam perjalanan transit.

Beliau mengesahkan bahawa serangan Iran telah mengenai lapangan terbang dan hotel, lokasi di mana ramai warga Britain berada.

Starmer turut merayu agar mereka yang berada di Asia Barat segera mendaftarkan lokasi.

“Saya tahu keadaan ini amat membimbangkan. Kami akan terus melakukan segala yang mampu untuk menyokong anda,” katanya.

Warga UK yang transit di Dubai dan Doha kini diminta tinggal di dalam bangunan dan tidak melakukan perjalanan luar kecuali perlu.

Serangan rentas sempadan oleh Iran tercetus selepas kematian Pemimpin Agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu serangan udara yang didakwa dilakukan AS dan Israel pada Sabtu pagi.

Tentera Israel mengesahkan bahawa serangan mereka di Tehran diteruskan, menyasarkan lokasi strategik di tengah bandar raya tersebut.

Iran pula berikrar untuk melakukan “serangan balas yang dahsyat”, dengan peluru berpandu dilaporkan mengenai beberapa negara jiran serta sasaran ketenteraan AS.

Di Dubai, orang ramai telah diarahkan untuk berlindung di dalam bangunan apabila bandar metropolitan itu dilanda peluru berpandu dan dron, mengakibatkan kerosakan pada hotel mewah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di dunia dari segi trafik penumpang.

 

 

Must Watch Video