AMSTERDAM: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Isnin akan memulakan prosiding awal terhadap bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, hampir setahun selepas penahanannya atas puluhan pertuduhan membunuh, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pendakwaan itu menuduh beliau terlibat dalam sekurang-kurangnya 78 kes pembunuhan dalam “perang menentang dadah” di negara itu dari 2011 hingga 2019.
Advertisement
Duterte merupakan bekas ketua negara pertama yang berdepan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di mahkamah berkenaan di The Hague.
Prosiding dijadual bermula pada 10 pagi (0900 GMT).
Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar Davao City dan dari 2016 hingga 2022 sebagai Presiden, Duterte melancarkan usaha tanpa henti memerangi jenayah dadah, dengan anggaran 30,000 mangsa terkorban, menurut pertubuhan hak asasi manusia.
Pada Mac 2025, beliau ditahan oleh Filipina dan diserahkan kepada mahkamah itu.
Duterte, 80, tidak akan berada di dalam mahkamah, namun tiada penjelasan diberikan mengenai perkara itu, yang dibenarkan mengikut prosedur mahkamah.
Dalam prosiding awal itu, hakim terlebih dahulu akan meneliti bukti bagi menentukan sama ada ia mencukupi untuk memulakan prosiding utama.
Keputusan dijangka pada Mei.
-- BERNAMA-dpa