MAGHRIBI hampir melakar kejutan ke atas Brazil selepas terikat seri 1-1 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Dunia 2026 di Stadium New York Jersey, Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.
Hadir selaku bukan pilihan, kontroversi diangkat sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) Mac lalu susulan kejuaraan Senegal ditarik, tidak menghalang mereka untuk terus mencipta sensasi di pentas tertinggi dunia itu.
Bakal penyerang baharu Bayern Munich, Ismael Saibari, terlebih dahulu meletakkan Singa Atlas di hadapan apabila melakukan umpanan menewaskan penjaga gol Liverpool, Allison Becker, pada minit ke-21 dengan satu gol cantik.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti mula mengatur serangan berbahaya, dan hasilnya bintang Real Madrid, Vinicius Jr, melepaskan rembatan deras menewaskan Yassine Bounou untuk kedua-dua pasukan menuju bilik persalinan dengan kedudukan 1-1.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat menyaksikan juara Piala Dunia lima kali itu gagal meraih tiga mata penuh, selain pihak lawan turut sekadar berpuas hati meskipun kedua-dua pasukan kerap melancarkan serangan berbahaya sepanjang separuh masa kedua.
Maghribi dengan status underdog membawa misi untuk memperbaharui pencapaian edisi lalu.
Untuk rekod, Maghribi mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 dengan kejayaan mengalahkan Portugal dan Sepanyol, sambil mengakhiri kejohanan di tempat keempat.
Tahukah anda? Ini merupakan kali ke-21 Brazil tidak tewas dalam aksi pembukaan Piala Dunia sejak 1934.