Skip to main content

Dunia

Suspek 'rembat' kasut bola Harry Kane dicekup

POLIS Missouri mengesahkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian peralatan pasukan kebangsaan England menjelang saingan Piala Dunia 2026.
Ilustrasi situasi skuad England yang mengalami kes kecurian semasa persiapan Piala Dunia di Kansas City. - Foto: Agensi/Sinar Harian

POLIS Missouri mengesahkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian peralatan pasukan kebangsaan England menjelang saingan Piala Dunia 2026.

Penahanan itu dibuat kurang 48 jam selepas beberapa kelengkapan milik skuad The Three Lions dilaporkan hilang ketika proses pemindahan peralatan ke pangkalan latihan pasukan di Swope Soccer Village, Kansas City.

"Kami sedang menyiasat kes kecurian peralatan daripada kenderaan pasukan. Dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut," menurut kenyataan polis.

Sebelum ini, beberapa laporan mendakwa but khas milik kapten England, Harry Kane serta pemain tengah, Jude Bellingham antara barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut.

Turut dilaporkan dicuri ialah bola perlawanan, peralatan latihan dan beberapa kelengkapan sokongan pasukan yang digunakan sepanjang kempen Piala Dunia.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mendedahkan identiti kedua-dua suspek atau mengesahkan sama ada semua barangan yang hilang telah berjaya ditemui semula.

Insiden itu mencetuskan perhatian meluas kerana berlaku ketika England sedang membuat persiapan menghadapi aksi pembukaan Kumpulan L menentang Croatia pada 18 Jun (4 pagi waktu Malaysia).

Walaupun siasatan masih berjalan, perkembangan terbaharu itu sedikit sebanyak melegakan kem England yang sebelum ini terjejas akibat insiden kecurian tersebut.

England diundi dalam Kumpulan L bersama Croatia, Ghana dan Panama dalam misi memburu kemaraan ke pusingan kalah mati. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement