Skip to main content
Advertisement

Dunia

Penduduk bandar diduduki Rusia terpaksa makan lalang untuk terus hidup

Satellite imagery shows Russian-occupied Oleshky as Ukraine to urge UN to take action over hunger
Imej satelit menunjukkan Oleshky yang diduduki Rusia ketika Ukraine berusaha mendapatkan tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu kebuluran. - Foto REUTERS
Advertisement

KYIV: Penduduk di bandar Oleshky yang diduduki Rusia di wilayah Kherson, selatan Ukraine, dilaporkan berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing apabila bekalan makanan, air dan keperluan asas terputus, memaksa sebahagian mereka memakan lalang dan tumbuhan liar bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut laporan BBC, penduduk bandar di barisan hadapan konflik itu mendakwa Oleshky terus dibedil dan kini berada dalam keadaan hampir terputus hubungan dengan dunia luar.

Seorang penduduk yang identitinya dirahsiakan atas faktor keselamatan berkata bekalan makanan terakhir diterima pada Mei lalu dan ramai penduduk kini hanya mampu makan sekali sehari.

Beliau berkata penduduk yang kehabisan hasil tanaman turut bertukar maklumat mengenai jenis lalang dan tumbuhan liar yang selamat dimakan menerusi aplikasi pesanan serta saling berkongsi bekalan makanan yang masih ada.

Oleshky, yang diduduki Rusia sejak 2022, turut terjejas teruk selepas empangan Nova Kakhovka runtuh pada 2023, menyebabkan banjir besar yang memusnahkan kawasan kediaman dan infrastruktur.

Kerajaan Ukraine menganggarkan kira-kira 6,000 penduduk masih berada di Oleshky dan kawasan sekitarnya, termasuk sekitar 200 kanak-kanak.

Penduduk mendakwa kanak-kanak di kawasan itu mengalami kekurangan zat makanan, kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Mereka juga berkata hanya sebuah hospital beroperasi secara terhad beberapa hari seminggu bagi menjalankan prosedur kecemasan tertentu.

Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiha, ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Selasa, menggesa masyarakat antarabangsa menekan Moscow supaya membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke bandar berkenaan.

Sementara itu, Kremlin mengakui Oleshky sedang berdepan situasi kritikal dan masalah bekalan makanan serta ubat-ubatan, namun menyatakan pihak tentera Rusia sedang berusaha menangani keadaan itu.

Menurut laporan itu lagi, penduduk yang cuba mendapatkan bekalan di kawasan berhampiran berdepan risiko serangan dron dan periuk api, manakala usaha untuk mengira jumlah korban sebenar turut sukar dilakukan.

Beberapa aktivis dan sukarelawan tempatan mendakwa angka kematian sebenar mungkin jauh lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan secara rasmi.

 

Must Watch Video

Advertisement