PENDUDUK di Singapura dibenarkan memilih jenis vaksin COVID-19 untuk diterima serta pusat vaksinasi menerusi sistem tempahan janji temu.

Senarai penuh pusat vaksinasi dan poliklinik serta jenis vaksin yang diedarkan boleh dirujuk menerusi laman web Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura.

Memetik laporan media tempatan, suntikan vaksin Moderna diberikan di 11 daripada 38 pusat vaksinasi, manakala bakinya menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech.

Vaksin Pfizer merupakan vaksin pertama yang diluluskan untuk penggunaan di Singapura, dengan penghantaran pertama tiba pada Disember lalu.

Menurut kenyataan MOH Singapura pada 16 April lalu, sebanyak 40 pusat vaksinasi akan disediakan menjelang pertengahan April.

Setiap pusat hanya akan membekalkan dan memberi satu jenis vaksin - sama ada Moderna atau Pfizer-BioNTech.

Lebih banyak golongan akan mula menerima vaksin bermula April bagi mencapai sasaran untuk memvaksinkan kesemua penduduk di Singapura menjelang hujung tahun ini.

Setakat 6 April, seramai 1,131,658 penduduk negara itu telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, dengan 535,864 yang melengkapkan dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama dan kedua sebanyak 1,667,522.