Ringkasan AI
- Crystal Palace memecat pengurus Pierre Sage selepas kurang lima bulan berkhidmat susulan prestasi buruk dalam Liga Perdana Inggeris.
- Sage hanya mencatat dua kemenangan dan satu seri daripada 10 perlawanan EPL, menyebabkan Palace kini di tangga tercorot liga.
- Tiga anggota kejurulatihan turut meninggalkan kelab, sementara Thomas Frank dilaporkan calon utama menggantikan Sage.
LONDON: Crystal Palace memecat pengurusnya Pierre Sage kurang lima bulan selepas pelantikannya, lapor PA Media/dpa.
Bekas pengendali Lens dan Lyon itu menggantikan Oliver Glasner pada Jun lalu, namun hanya mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Palace kini menghuni tangga tercorot liga selepas tewas 1-3 kepada Liverpool di laman sendiri pada Ahad.
Tiga anggota barisan kejurulatihan Sage, iaitu Jamal Alioui, Damien Della Santa dan Sandy Guichard, turut meninggalkan kelab itu.
“Kelab Bola Sepak Crystal Palace mengesahkan bahawa Pierre Sage telah meninggalkan jawatannya sebagai pengurus,” menurut kenyataan kelab itu.
“Kelab ingin merakamkan penghargaan kepada Pierre dan barisan kejurulatihannya atas usaha mereka sepanjang berkhidmat di selatan London serta mendoakan kejayaan mereka pada masa depan.”
Menurut syarikat pertaruhan, bekas pengendali Tottenham dan Brentford, Thomas Frank, merupakan calon utama untuk menggantikan Sage.
Ini kali pertama Palace berada di tangga tercorot liga selepas semua pasukan melengkapkan perlawanan bagi satu pusingan sejak Disember 2017.
Pasukan yang dikenali sebagai The Eagles itu menunjukkan prestasi sedikit lebih baik dalam pertandingan lain selepas menewaskan Fulham pada akhir bulan lalu untuk mara ke suku akhir Piala Liga menentang Sunderland.
Bagaimanapun, kempen Liga Europa mereka menyaksikan prestasi tidak menentu apabila mencatat satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan, sekali gus menduduki tempat ke-21 selepas empat perlawanan pertama.
Glasner sebelum ini berjaya mengekalkan jawatannya meskipun Palace gagal mencatat kemenangan dalam sembilan perlawanan EPL berturut-turut pada Februari.
Bagaimanapun, jurulatih dari Austria yang menyertai Nottingham Forest pada musim panas lalu itu mempunyai rekod pencapaian yang baik selepas membimbing Palace menjuarai Piala FA dan Liga Konferens.
Sesetengah pihak berpendapat Sage, yang dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Ligue 1 musim lalu selepas membimbing Lens menamatkan saingan di tempat kedua, berdepan keadaan yang sukar, dengan faktor lain termasuk pengambilan pemain dan kecederaan turut menyumbang kepada prestasi pasukan.
Namun, Sage sendiri mengakui Palace gagal menunjukkan prestasi konsisten apabila bolos 24 gol, jumlah tertinggi dalam kalangan kelab liga utama, selain hanya menjaringkan 10 gol, sekali gus mencatat perbezaan gol terburuk dalam liga.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa