Bandar terbesar Australia, Sydney, kini berdepan masalah bekalan air yang semakin menyusut dalam kadar pantas, selain kebanyakan empangan dijangka berada mencatatkan bacaan paras air di bawah takat separuh maksimum.

Agensi berita Reuters melaporkan, perkembangan yang disebabkan oleh kemarau paling teruk itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan juga pihak pemerintah.

Empangan Warragamba yang menjadi bekalan utama bandar raya itu mencatatkan kapasiti air 51.4 peratus, iaitu susut 17.8 peratus dalam tempoh setahun, Jumlah air yang mencurah masuk ke dalam empangan itu juga hanyalah 10 peratus daripada situasi biasa berbanding tahun lalu.

Secara keseluruhannya di Sydney, purata paras air di 11 empangan adalah 50.1 peratus, sekali gus memaksa pihak berkuasa memperkenal langkah catuan air dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kami tidak pernah berdepan masalah aliran air sebegini. Kawasan takungan air yang selama ini boleh diharap sudah berdepan masalah bekalan yang kritikal,” ujar Menteri Air, Hartanah dan Perumahan New South Wales, Melinda Pavey.

Dalam kadar penyusutan semasa, tanpa mengira taburan hujan, empangan-empangan di Sydney hanya akan tinggal jumlah air yang cukup untuk dua tahun lagi, lapor badan pemantau, WaterNSW.

Pavey menambah, banyak bandar di bahagian yang lebih jauh ke daratan, akan kehabisan sumber air bersih dalam tempoh 12 bulan.

Antara langkah yang diambil di Sydney dalam bulan-bulan kebelakangan ini adalah menguatkuasakan catuan air, iaitu mengehadkan penggunaan air di luar rumah.

Pada Mac lalu, loji penyulingan air Sydney mula beriperasi dalam kapasiti penuh untuk memproses air laut, dengan harapan dapat meningkatkan bekalan air bandar itu kepada 70 peratus.

Sementara itu dalam satu kaji selidik pada April, dalam kalangan 1,000 penduduk Sydney, menunjukkan bahawa 47 peratus daripada responden tidak menyedari bahawa kemarau sedang berlaku.