Skip to main content

Dunia

Penerbangan American Airlines disambung semula selepas gangguan sistem IT

Sumber: REUTERS
American Airlines ialah syarikat penerbangan terbesar di AS berdasarkan jumlah keseluruhan penumpang dan penerbangan harian. - Gambar fail Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Penerbangan American Airlines disambung semula pada petang Selasa selepas gangguan singkat sistem teknologi maklumat (IT) menjejaskan sambungan beberapa sistem syarikat penerbangan itu, sehingga mendorong penggantungan sementara penerbangannya di seluruh Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada petang Selasa memaklumkan, semua penerbangan American Airlines dihentikan sementara di seluruh negara berikutan gangguan sistem IT yang menjejaskan operasi syarikat.

“Sistem kini beransur pulih dan penerbangan kembali beroperasi. Kami melaksanakan penggantungan sementara penerbangan ketika pasukan kami berusaha menyelesaikan masalah itu,” menurut American Airlines menerusi kenyataan di platform media sosial X.

Menurut AirAdvisor, iaitu penyedia perkhidmatan teknologi perundangan berkaitan pampasan penerbangan dan bagasi, American Airlines ialah syarikat penerbangan terbesar di AS berdasarkan jumlah keseluruhan penumpang dan penerbangan harian.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement