KAHERAH: Seorang pengacara televisyen terkenal Mesir, Sarah Khalifa, bersama 11 individu lain dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah terbabit dalam kegiatan pembuatan dan pengedaran dadah, menurut laporan media tempatan.
Sarah, 39, yang dikenali menerusi program televisyen Mission Impossible yang memfokuskan isu jenayah dan keselamatan, didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah Kaherah kerana terbabit dalam sindiket yang mengimport bahan mentah untuk menghasilkan dadah sintetik bagi tujuan pengedaran.
Menurut akhbar Al-Ahram, mahkamah turut mensabitkan kesemua tertuduh atas kesalahan memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen.
Keputusan itu disahkan selepas mahkamah mendapatkan pandangan Mufti Besar Mesir, satu prosedur yang diwajibkan undang-undang negara itu sebelum hukuman mati boleh dijatuhkan secara rasmi.
Bagaimanapun, semua tertuduh masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan daripada 20 saksi serta bukti digital termasuk perbualan, gambar dan rakaman video yang didakwa mengaitkan tertuduh dengan aktiviti jenayah berkenaan.
Pihak berkuasa turut merampas lebih 750 kilogram dadah dan bahan mentah yang digunakan dalam penghasilannya, selain menemui premis yang dijadikan makmal pemprosesan dadah serta senjata api dan peluru tidak berlesen.
Sarah menafikan semua pertuduhan. Dalam satu prosiding terdahulu, beliau mendakwa tidak pernah melihat dadah sehinggalah gambar dirinya dirakam bersama bahan berkenaan di pejabat pihak berkuasa antinarkotik.
Dalam kes berasingan, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Sarah dan beberapa tertuduh lain berkaitan penculikan serta serangan terhadap seorang lelaki muda.
Menurut undang-undang Mesir, hukuman mati boleh dikenakan bagi kesalahan termasuk pembunuhan berancang, keganasan, beberapa kes rogol dan pengedaran dadah.
Laporan Amnesty International sebelum ini menyatakan ratusan hukuman mati telah dijatuhkan di Mesir dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjadikan negara itu antara negara yang paling aktif melaksanakan hukuman berkenaan.