DUNIA
Pengampunan yang ditandatangani Biden kini tidak sah - Trump

Trump (kanan) mendakwa, Biden telah telah memberi banyak pengampunan kepada individu yang sejujurnya akan berada di penjara jika bukan kerana pengampunan itu, tetapi pengampunan itu kini adalah tidak sah.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa bahawa pengampunan yang ditandatangani Presiden terdahulu Joe Biden, kini tidak mempunyai kuasa undang-undang.
"Biden telah memberi banyak pengampunan kepada individu yang sejujurnya akan berada di penjara jika bukan kerana pengampunan itu, tetapi pengampunan itu kini adalah tidak sah. Menurut hampir semua orang," kata Trump kepada pemberita di White House pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Trump juga berkata, beliau merancang untuk menghantar Pengawal Kebangsaan ke New York City bagi membendung jenayah, selain ke Chicago, Memphis dan New Orleans.
"Kami juga akan ke New York," katanya sambil menyenaraikan bandar AS lain termasuk Chicago, Memphis dan New Orleans yang turut akan dikenakan tindakan membanteras jenayah oleh persekutuan.Trump pada Isnin mengumumkan, beliau telah menandatangani memorandum presiden yang menubuhkan Pasukan Petugas Selamat (Safe Task Force) di Memphis, dengan matlamat untuk "secara berperingkat" menghapuskan jenayah di bandar itu.
Usaha berkenaan dijangka meniru inisiatif di Washington dan melibatkan Pengawal Kebangsaan serta agensi lain termasuk FBI, Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF), Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) dan Perkhidmatan Marshal AS.
Pada 11 Ogos, Trump mengarahkan anggota Pengawal Kebangsaan ke Washington, DC susulan "darurat keselamatan awam" dan berkata, beliau akan memulihkan ketenteraman di bandar-bandar lain yang mempunyai kadar jenayah tinggi seperti New York, Chicago, Baltimore, Oakland dan Los Angeles.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami