SIFNOS: Sepasang pengantin baharu dari Britain bersama juruterbang mereka maut dalam nahas helikopter di Pulau Sifnos, Greece pada Isnin.
Polis Greece mengenal pasti mangsa sebagai Alexander Cromie dan isterinya, Marie Ebert, yang berada di negara itu untuk berbulan madu selepas melangsungkan perkahwinan.
Menurut pihak berkuasa, helikopter persendirian jenis Bell 206 yang dinaiki mereka terhempas hanya beberapa meter dari kawasan pendaratan, mengorbankan ketiga-tiga mangsa termasuk juruterbang warga Greece.
Media tempatan melaporkan, pasangan berkenaan menaiki helikopter dari perkampungan Markopoulo berhampiran Athens menuju ke Pulau Sifnos, sebuah destinasi pelancongan popular di negara itu.
Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Greece memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, dengan pasukan penyiasat dijadual ke lokasi nahas untuk mengumpul bukti dan mendapatkan keterangan saksi.
Jurucakap Pejabat Luar Britain berkata, pihaknya sedang memberikan bantuan konsular kepada keluarga mangsa dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Greece.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa pada waktu yang sukar ini. Kami sedang menyediakan bantuan konsular dan berhubung dengan pihak berkuasa Greece,” katanya.
Firma pengurusan aset global, Blackstone, tempat Cromie bekerja, menyifatkan pemergian pasangan itu sebagai satu kehilangan besar.
“Kami terkejut dengan pemergian tragis tiga individu termasuk rakan sekerja kami, Alex Cromie, dan isterinya Marie Ebert yang sedang meraikan bulan madu mereka.
“Alex sangat disenangi oleh semua yang mengenali dan bekerja bersamanya. Ingatan dan doa kami bersama keluarga serta insan tersayang mereka,” menurut kenyataan syarikat itu.
Ebert pula merupakan pakar kanan di firma perunding antarabangsa Bain & Company.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, pihaknya terkejut menerima laporan mengenai kemalangan tragis yang melibatkan salah seorang kakitangannya dan suami beliau.
“Kami menghulurkan sokongan dan simpati kepada keluarga yang terlibat dalam waktu yang amat sukar ini,” katanya.
Seorang pegawai kanan polis memberitahu media tempatan bahawa nahas berlaku tidak lama sebelum helikopter itu dijadual mendarat kira-kira jam 6.15 petang waktu tempatan.
Timbalan Datuk Bandar Sifnos, Manolis Foundoulakis yang tiba di lokasi sejurus selepas kejadian berkata, keadaan pesawat itu musnah teruk sehingga hampir tiada bahagian yang tinggal.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar pulau berkenaan, Yiannis Rafeletos, berkata, penduduk setempat amat terkejut dengan tragedi tersebut.
“Begitu banyak kegembiraan bertukar menjadi kesedihan dalam sekelip mata,” katanya.
Menurut beliau, beberapa penduduk menyaksikan nahas itu berlaku berhampiran kediaman mereka dan melaporkan terdengar bunyi enjin yang luar biasa ketika helikopter berkenaan sedang melakukan pendaratan.
Katanya, dua mangsa ditemui dalam bangkai pesawat manakala seorang lagi ditemukan pada jarak yang tidak jauh dari lokasi nahas.
Pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi berjaya memadamkan kebakaran yang tercetus selepas helikopter itu terhempas. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada malam Isnin.