MOSCOW: Bilionair Taiwan dan pengasas syarikat gergasi elektronik Foxconn, Terry Gou, mengumumkan pada Isnin bahawa beliau akan bertanding untuk pilihan raya presiden Taiwan 2024 sebagai calon Bebas, lapor Sputnik, memetik media Taiwan pada Isnin.

Gou pada April mengumumkan beliau akan memohon pencalonan atas platform parti pembangkang Taiwan Kuomintang (KMT), tetapi parti itu kemudiannya mencalonkan Datuk Bandar New Taipei City Hou Yu-ih sebagai calonnya.

Gou membuat pengumuman bertanding sebagai calon Bebas beberapa minggu selepas beliau mencadangkan pembentukan gabungan parti pembangkang untuk meningkatkan peluang mengalahkan Parti Progresif Demokratik (DPP), lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Pada April, DPP secara rasmi mencalonkan Naib Presiden Taiwan Lai Ching-te, yang juga merupakan pengerusi parti itu sebagai calonnya untuk pilihan raya presiden 2024. Penyandang pemimpin Taiwan, Tsai Ing-wen, tidak layak untuk bertanding semula kerana beliau telah berkhidmat dua penggal berturut-turut. Pilihan raya dijadualkan pada Januari 2024.

Foxconn ialah satu daripada syarikat teknologi dan penyedia perkhidmatan terbesar di dunia. Ia ditubuhkan oleh Gou pada tahun 1974 di Taiwan. Antara pelanggannya ialah syarikat antarabangsa utama seperti Amazon, Apple, Xiaomi, dan Microsoft.

Gou meletak jawatan sebagai pengerusi Foxconn pada 2019 dan menyertai KMT untuk bertanding bagi pemilihan ketua pentadbiran Taiwan 2020. Bagaimanapun, sejurus selepas itu, beliau kalah dalam pemilihan utama KMT dan meninggalkan parti.

--BERNAMA-SPUTNIK



TAG: Foxconn, Terry Gou, Taiwan, presiden, pilihan raya