Ringkasan AI
- Dr Johnichal Rayong Ngipa mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) dan meletakkan semua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa semalam.
- Beliau menegaskan akan terus bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak untuk memperjuangkan hak dan kestabilan politik negeri.
- Rayong menyatakan keputusan dibuat selepas meneliti prinsip politik, aspirasi masa depan serta pandangan penyokong dan pengundi di DUN Engkilili.
KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili Dr Johnichal Rayong Ngipa mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) serta meletakkan semua jawatan disandangnya dalam parti itu, berkuat kuasa semalam.
Beliau yang juga Naib Presiden PDP berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan dan penilaiannya setelah meneliti prinsip politik serta aspirasi masa depannya untuk terus berkhidmat kepada Sarawak.
"Saya membuat keputusan ini atas pertimbangan sendiri setelah meneliti prinsip politik yang saya pegang, aspirasi saya untuk masa depan dan peranan ingin terus saya mainkan dalam politik Sarawak," katanya menerusi video di laman Facebooknya hari ini.
Meskipun meninggalkan PDP, Rayong menegaskan beliau kekal bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi menyokong suara negeri, memperjuangkan hak dan memelihara kestabilan politik gabungan berkenaan.
Beliau berkata keputusan itu turut dibuat selepas mendengar dan meneliti pandangan penyokong serta pengundi di DUN Engkilili.
"Walaupun saya membuka lembaran baharu dalam perjalanan politik saya, komitmen saya terhadap Sarawak tetap teguh. Saya akan terus berkhidmat dan menyumbang demi kepentingan rakyat di N33 Engkilili serta seluruh rakyat Sarawak khasnya," katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lepas, Rayong mempertahankan kerusi DUN Engkilili atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan majoriti 1,191 undi selepas menewaskan calon GPS daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Desmond Sateng Sanjan.
Perkembangan politik negeri menyaksikan PSB dibubarkan dan mereka menyertai PDP secara beramai-ramai pada 2024.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 pada 12 Dis manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 28 Nov dan pengundian awal 8 Dis.
-- BERNAMA