Skip to main content

Dunia

Pengawal Revolusi Iran dakwa dua kapal tangki minyak meletup di Selat Hormuz

Sumber: Adobe Stock
IRGC berkata kedua-dua kapal itu mengalami letupan ketika cuba merentasi kawasan yang didakwa mempunyai periuk api di selatan selat berkenaan. - Gambar hiasan
Advertisement

TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa dua kapal tangki minyak meletup dan tidak dapat meneruskan pelayaran selepas cuba melalui laluan selatan Selat Hormuz yang disifatkannya tidak selamat, sambil menuduh tentera Amerika Syarikat (AS) menggalakkan kapal-kapal berkenaan menggunakan laluan tersebut.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, IRGC berkata kedua-dua kapal itu mengalami letupan ketika cuba merentasi kawasan yang didakwa mempunyai periuk api di selatan selat berkenaan.

Namun, pihak berkuasa Iran tidak mendedahkan nama kapal, bendera pendaftaran, jumlah kru atau maklumat mengenai sebarang kemalangan jiwa.

Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut.

Menurut IRGC, laluan perairan itu akan terus berbahaya selagi apa yang disifatkannya sebagai "pencerobohan" AS di rantau berkenaan masih berterusan.

Pengawal Revolusi turut memberi amaran bahawa laluan itu tidak lagi selamat untuk penghantaran produk petrokimia serta minyak dan gas.

"Kapal-kapal tidak seharusnya terpedaya untuk memasuki kawasan periuk api itu," menurut kenyataan yang disiarkan media rasmi Iran.

IRGC turut memberi amaran kepada tentera AS supaya bersedia menghadapi apa yang digelarnya sebagai "operasi hukuman" susulan ketegangan yang semakin memuncak antara Tehran dan Washington.

Dakwaan itu muncul ketika konflik antara Iran dan AS terus memuncak dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan udara, dron dan peluru berpandu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia kerana menjadi saluran utama eksport minyak dan gas dari negara-negara Teluk ke pasaran global.

Sebarang gangguan terhadap pelayaran di kawasan itu berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dunia dan meningkatkan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Sebelum ini, IRGC turut mendakwa telah menghentikan beberapa kapal yang cuba menggunakan laluan tertentu di Selat Hormuz, ketika Iran berusaha memperketat kawalan terhadap pergerakan perkapalan di kawasan strategik tersebut.
 

 

Must Watch Video

Advertisement