Pengawal selia Jerman denda Amazon AS$67 juta berikutan amalan penetapan harga

Amazon dikatakan telah mengenakan syarat harga yang tidak sah terhadap penjual pihak ketiga yang menggunakan platform Marketplace miliknya. - Reuters
FRANKFURT: Pihak berkuasa antitrust Jerman pada Khamis mengarahkan Amazon membayar denda sekitar EUR59 juta (AS$69.6 juta) berhubung amalan penetapan harga yang menyalahi undang-undang dan menuntut syarikat itu mengubah amalannya, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pejabat Kartel Persekutuan menyatakan bahawa Amazon telah mengenakan syarat harga yang tidak sah terhadap penjual pihak ketiga yang menggunakan platform Marketplace miliknya.
Keputusan itu menandakan kali pertama badan pemerhati persaingan utama Jerman mengambil tindakan kewangan terhadap Amazon, yang memegang anggaran 60 peratus pegangan pasaran runcit dalam talian di negara tersebut.
Pengawal selia yang berpangkalan di Bonn itu sebelum ini pernah mengarahkan Amazon dan syarikat teknologi Amerika Syarikat yang lain untuk mengubah amalan mereka bagi mengelakkan kuasa pasaran mereka daripada menyekat persaingan dan memudaratkan pengguna. Melalui keputusan terbaharu ini, pihak berkuasa tersebut sekali lagi telah mempertingkatkan penguatkuasaannya.
Amazon bukan sahaja menjual barangan secara terus, malah turut membenarkan pedagang pihak ketiga menjual produk melalui platform e-dagang Marketplace.
Pengawal selia itu mendedahkan bahawa Marketplace menyumbang sebanyak 60 peratus daripada hasil pendapatan Amazon di Jerman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


