DUBLIN: Sistem perjalanan digital COVID-19 Kesatuan Eropah (EU) akan mula berkuat kuasa pada Khamis, namun kumpulan Lapangan Terbang ACI dan badan mewakili syarikat penerbangan A4E, IATA dan ERA memberi amaran kepada pemimpin negara-negara EU mengenai beberapa pendekatan yang menimbulkan kebimbangan.

"Jumlah penumpang akan meningkat dalam beberapa minggu mendatang.

"Risiko berlaku huru-hara di lapangan terbang sekitar Eropah adalah pasti," kata kumpulan itu dalam kenyataan bersama pada Isnin.

Sijil digital EU untuk COVID-19 sebelum ini dirancang untuk menunjukkan melalui imbasan kod QR, sama ada penumpang telah diberikan vaksin sepenuhnya atau mempunyai perlindungan selepas pulih daripada jangkitan mahupun yang telah menjalani ujian saringan negatif.

Sijil ini dirancang untuk digunakan bagi perjalanan ke seluruh negara anggota EU bermula 1 Julai, namun memerlukan pemeriksaan tambahan dan peralatan tepat untuk membaca kod berkenaan.

Kenyataan itu menyebut bahawa satu-satunya cara untuk menghindari barisan panjang ketika cuti musim panas ini adalah dengan mengaplikasikan sistem itu dimana kedua-dua sijil vaksinasi dan borang pengesanan penumpang boleh diproses lebih awal sebelum penumpang tiba di lapangan terbang.

Pemeriksaan hanya boleh dilakukan di negara yang berlepas dan bukan hanya pada waktu ketibaan.

Selain itu, kerajaan di negara-negara itu perlu menguruskan data kesihatan dan menyediakan peralatan untuk memeriksa kod QR berkenaan.

"Perbezaan dalam pelaksanaan sijil digital COVID-19 serta duplikasi pemeriksaan dokumen yang berlanjutan di beberapa negara sangat membimbangkan," katanya.

Ketua Pengarah ACI Eropah, Olivier Jankovec menyatakan kebimbangannya dalam mengatasi isu ini yang dijangka bakal menjadi cabaran besar.

"Jumlah pengesahan yang masih secara manual di lapangan terbang menjadikannya sangat 'rumit'," katanya.

Tambahnya, sekiranya tiada perubahan dibuat dan kapasiti penumpang yang tiba kembali ke tahap pra-COVID-19, secara teorinya proses itu akan berlarutan menjadi lima sehingga lapan jam yang pastinya tidak boleh diterima pihak lapangan terbang.

Menjelang pertemuan negara-negara Eropah megenai sijil digital pada Selasa, Suruhanjaya Eropah mengeluarkan panduan untuk negara-negara anggota yang mengulangi beberapa masalah dengan menyatakan bahawa 10 kombinasi pemeriksaan berbeza sedang dirancang oleh pelbagai negara.

Ini berisiko membawa kepada pertindihan langkah-langkah yang tidak perlu dan akibatnya berkemungkinan penumpang terpaksa beratur dan berkerumun di lapangan terbang.