NANNING (CHINA): Penyelarasan yang lebih kukuh antara negara, agensi kemanusiaan dan pihak berkepentingan amat penting untuk memastikan respons lebih pantas dan berkesan apabila bencana berlaku.
Ketua Pejabat Serantau Asia dan Pasifik, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR), Marco Tiscano Rivalta, berkata kepantasan tindak balas turut bergantung pada keberkesanan kesiapsiagaan serta keupayaan kerjasama pelbagai pihak berdasarkan pemahaman bersama mengenai risiko bencana.
“Kepelbagaian organisasi dan institusi yang terlibat ketika bencana berlaku menunjukkan pentingnya kesiapsiagaan,” katanya dalam ucapan pada seminar mengenai penyelarasan respons kemanusiaan antarabangsa bersempena dengan Bengkel Forum Serantau ASEAN (ARF) kali ketiga mengenai mencari dan menyelamat kecemasan bandar di sini hari ini,
Marco berkata kesiapsiagaan merangkumi pengurangan risiko bencana melalui pengukuhan pengetahuan, sistem amaran awal dan komunikasi kerana langkah itu dapat memperkukuh keberkesanan operasi kemanusiaan.
Beliau berkata maklumat mengenai risiko yang diperoleh melalui penyelidikan, institusi saintifik dan sistem pemodelan perlu diterjemahkan kepada langkah praktikal dan boleh dilaksanakan, manakala sistem amaran awal perlu merangkumi keseluruhan proses, berorientasikan keperluan masyarakat serta disusuli dengan tindakan awal.
Sementara itu, Pengarah dan Wakil Program Makanan Sedunia (WFP) China, Zhao Bing berkata penyelarasan amat penting, khususnya ketika krisis kerana sesuatu kejadian boleh berlaku dengan pantas dan sumber perlu digerakkan serta dihantar tepat pada masanya.
Zhao berkata penyelarasan yang berkesan juga dapat mengelakkan pertindihan tugas atau berulang antara pelbagai pihak, khususnya apabila sumber bukan menjadi kekangan utama.
“Latihan bersama, simulasi dan aktiviti peningkatan kapasiti yang melibatkan pelbagai negara dan organisasi dapat membantu memperkukuh kerjasama praktikal serta perkongsian,” katanya.
Daripada perspektif Malaysia, Pengarah Logistik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohd Khairi Abd Ghani berkata keupayaan teknikal dapat menyelamatkan nyawa, namun kerjasama, akses dan logistik yang berkesan amat penting bagi memastikan keupayaan itu dapat digunakan merentasi sempadan.
“Misi menyelamat antarabangsa memerlukan pelbagai elemen, bermula daripada permintaan bantuan dan akses diplomatik sehingga pergerakan anggota dan peralatan, selain sokongan operasi di lapangan,” katanya.
Beliau berkata pengalaman Malaysia dalam misi menyelamat antarabangsa menunjukkan penyelarasan antara agensi kerajaan, misi diplomatik, negara tuan rumah dan rakan serantau amat penting untuk memastikan pasukan dapat digerakkan dan diintegrasikan secara berkesan dengan sistem tindak balas tempatan.
Seminar itu menampilkan 17 penceramah yang berkongsi pandangan mengenai kerangka global dan serantau, termasuk wakil Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA), Kumpulan Penasihat Antarabangsa Operasi Mencari dan Menyelamat (INSARAG), NADMA, Mongolia, Singapura dan Thailand.
Bengkel anjuran oleh China, Laos, dan Malaysia dari 17 hingga 21 Sept itu menghimpunkan lebih 400 peserta, termasuk pegawai kanan dari 27 negara peserta ARF serta wakil organisasi antarabangsa, pakar dan pengamal dalam bidang berkenaan.
Bengkel ARF kali ketiga mengenai mencari dan menyelamat kecemasan bandar itu bertemakan “Artificial Intelligence Empowering Urban Emergency Rescue”.
-- BERNAMA