Skip to main content

Malaysia

Pasangan suami isteri maut kereta terbabas

Pasangan warga emas maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS, dengan lelaki berusia 75 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, 70, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di HTJ.
Pasangan warga emas maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS, dengan lelaki berusia 75 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, 70, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di HTJ.
Advertisement

SEREMBAN: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Kilometer 242 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Ngiam Ooi Ming berkata, dalam kejadian kira-kira 5.20 petang itu, mangsa yang berusia 75 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, 70, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, kira-kira 8 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Saga dinaiki kedua-dua mangsa yang dipandu lelaki berusia 20 tahun bersama dengan seorang lagi penumpang wanita, 21, dari Cheras, Kuala Lumpur menuju ke Port Dickson.

Advertisement

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berkonvoi dipercayai memotong dan memasuki laluan hadapan kereta berkenaan secara mengejut, sebelum kereta itu hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, penumpang wanita tersebut mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Rembau, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua mangsa yang meninggal dunia merupakan ahli keluarga kepada pemandu kereta berkenaan. 

Advertisement

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk mengesan kumpulan penunggang motosikal yang dipercayai berada di lokasi.

Ngiam turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka supaya menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

TAG: polis, suami isteri, maut, Rembau, terbabas

Must Watch Video

Advertisement