Skip to main content
Advertisement

Dunia

Penumpang bas di Singapura berdepan denda hingga S$500 jika pasang audio kuat

Pernah berdepan dengan penumpang yang memainkan lagu terlalu kuat dalam bas? Di Singapura, perbuatan ini kini dianggap sebagai kesalahan undang‑undang. Pihak berkuasa menegaskan bahawa muzik atau audio yang dimainkan dengan kuat bukan sahaja mengganggu ketenteraman penumpang lain malah merosakkan suasana perjalanan secara keseluruhan.
Selain memainkan audio pada tahap kuat, kesalahan lain yang boleh dikenakan denda sehingga S$500 termasuk meletakkan kaki di atas kerusi, membuang sampah, makan dan minum di dalam bas. -Gambar hiasan/Amanz
Advertisement

SINGAPURA: Penumpang bas awam di Singapura yang memainkan muzik atau kandungan audio pada tahap kuat tanpa menggunakan fon telinga kini berdepan denda maksimum sehingga S$500 (kira-kira RM1,600), lapor Amanz.

Pihak berkuasa Singapura berkata perbuatan itu bukan sahaja mengganggu pengguna lain, malah menjejaskan keselesaan perjalanan dalam sistem pengangkutan awam.

Langkah penguatkuasaan itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mewujudkan persekitaran pengangkutan awam yang lebih selamat, selesa dan berdisiplin.

Penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh kakitangan yang diberi kuasa, termasuk pemeriksa tiket dan petugas di hab serta terminal bas.

Mereka boleh mengeluarkan notis kesalahan kepada individu yang disyaki melanggar peraturan berkenaan.

Sementara itu, pemandu bas tidak diberikan kuasa mengeluarkan notis kesalahan kerana perlu menumpukan perhatian kepada aspek keselamatan pemanduan.

Namun, mereka masih boleh menegur penumpang yang mengganggu ketenteraman dan mengarahkan individu terbabit turun daripada bas jika enggan mematuhi arahan.

Selain memainkan audio pada tahap kuat, kesalahan lain yang boleh dikenakan denda sehingga S$500 termasuk meletakkan kaki di atas kerusi, membuang sampah, makan dan minum di dalam bas.

Bagi kesalahan yang lebih serius seperti menyebabkan halangan atau bahaya kepada pengguna lain di hab dan terminal bas, atau mengotorkan kemudahan pengangkutan awam, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sehingga S$5,000 (kira-kira RM15,926).

Menurut Land Transport Authority (LTA), peraturan baharu itu diselaraskan dengan peraturan sedia ada dalam rangkaian kereta api republik tersebut bagi menggalakkan budaya pengguna yang lebih bertimbang rasa dan mewujudkan persekitaran pengangkutan awam yang lebih menyenangkan.

Must Watch Video

Advertisement