JERUSALEM: Penumpang dan kru sebuah pesawat flydubai berjaya menggagalkan cubaan juruterbang kedua untuk merempuhkan pesawat yang dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv pada Rabu, selepas lelaki itu didakwa menikam juruterbang dan menyebabkan pesawat menjunam hampir 14,000 kaki dalam tempoh kurang 30 saat.
Menurut pegawai Israel, insiden itu berlaku apabila juruterbang kedua menyerang kapten pesawat di kokpit, sebelum cuba mengambil alih kawalan penerbangan.
Kapten yang cedera parah bagaimanapun berjaya menekan suis pelepas pintu kokpit, membolehkan penumpang dan kru memasuki ruang berkenaan sebelum menundukkan suspek.
Tindakan pantas mereka turut membolehkan dua lagi juruterbang flydubai yang berada dalam pesawat itu mengambil alih kawalan dan melakukan pendaratan cemas dengan selamat di Tabuk, Arab Saudi.
Lebih 10 jam kemudian, kesemua penumpang menaiki pesawat gantian flydubai dan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Beberapa penumpang menyifatkan kejadian itu sebagai satu keajaiban selepas bergelut bagi mengelakkan bencana besar.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan, motif serangan dalam penerbangan FZ1073 itu masih dalam siasatan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan kejadian tersebut sebagai "insiden keselamatan serius" dan memaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi akan menjalankan siasatan serta soal siasat terhadap juruterbang kedua terbabit.
Sementara itu, flydubai dalam kenyataannya menegaskan, punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi awal.
Seorang pegawai Israel mendakwa, suspek merupakan warga Oman, namun setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Muscat berhubung perkara itu.
Netanyahu turut memuji keberanian penumpang yang bertindak membantu mengawal suspek, sekali gus mengelakkan tragedi lebih besar.
Menurut beliau, seramai 174 individu berada dalam pesawat berkenaan dan majoritinya merupakan rakyat Israel.
Seorang penumpang, Asaf Rajuan yang membantu menahan suspek berkata, tindakannya dibuat secara spontan demi menyelamatkan nyawa keluarga dan penumpang lain.
"Anda tidak sempat berfikir ketika itu. Anda hanya bertindak untuk menyelamatkan anak, keluarga dan semua yang berada dalam pesawat," katanya.
Seorang lagi penumpang, Lital Shachaf menyifatkan mereka seperti diberi peluang kedua untuk hidup.
"Ia satu keajaiban. Keadaan sangat mengerikan dan tidak masuk akal. Kami bersyukur masih hidup dan berjaya pulang ke Israel," katanya.
Perkhidmatan ambulans Israel memaklumkan, seorang lelaki berusia 51 tahun menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada bahagian atas badan dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut pejabat Netanyahu, kapten pesawat yang dikenali sebagai Smit Machchhar, warga India, mengalami kecederaan serius dan berlumuran darah ketika berjaya membuka pintu kokpit.
Penumpang yang memasuki kokpit mendapati juruterbang kedua sedang memukul panel kawalan pesawat dalam usaha dipercayai untuk menyebabkan nahas.
Flydubai mengendalikan penerbangan harian antara Dubai dan Tel Aviv, laluan yang sering digunakan rakyat Israel sejak hubungan diplomatik antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel dipulihkan menerusi Perjanjian Abraham pada 2020.
Pesawat yang terlibat biasanya melalui ruang udara Arab Saudi dan Jordan sebelum tiba di Israel.
Lapangan Terbang Tabuk memaklumkan, kedua-dua juruterbang telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan dalam insiden itu.
Kejadian tersebut turut mencetuskan kebimbangan baharu mengenai aspek keselamatan penerbangan di rantau Asia Barat yang berdepan ketegangan geopolitik berpanjangan.
Sebagai langkah susulan, Israel mengumumkan akan memperketat saringan keselamatan terhadap semua juruterbang yang mengendalikan penerbangan masuk ke negara itu.
Jurucakap Netanyahu, Doron Spielman berkata, pihak berkuasa akan menjalankan semakan identiti dan pemeriksaan keselamatan lebih ketat terhadap setiap juruterbang yang beroperasi ke Israel.
Insiden itu berlaku ketika Israel bersiap sedia menghadapi pilihan raya pertama sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dengan isu keselamatan negara dijangka menjadi antara fokus utama kempen politik negara itu. - Agensi