HENAN: Banjir besar yang melanda tengah China sejak malam tadi dilapor telah meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa.

Difahamkan banjir turut menyebabkan laluan tren bawah tanah tergendala dan penumpang terpaksa mengharungi air setinggi paras pinggang di dalam gerabak.

Banjir Besar | Penumpang tren bawah tanah harung banjir dalam gerabak


Perkhidmatan kereta api bawah tanah di wilayah Henan itu dibanjiri air pada Selasa selepas hujan lebat menyebabkan tebing sungai pecah.

Agensi berita Xinhua melaporkan puluhan orang awam terbunuh dalam bencana banjir itu manakala lebih 100,000 orang terpaksa melarikan diri ke tempat selamat.

Dalam video yang tular di media sosial, penumpang tren bawah tanah di Zhengzhou dilihat berdiri dalam takungan air berlumpur, menunggu untuk diselamatkan.


Dalam video yang disiarkan di Weibo, pasukan bomba Henan memaklumkan pihaknya berusaha menyelamatkan penumpang dari landasan kereta api.


Sementara itu, jalan raya di bandar itu berubah menjadi sungai, menenggelamkan puluhan kenderaan.


Pihak berkuasa daerah Zhengzhou dalam satu kenyataan di laman webnya berkata pelaksanaan kawalan banjir tidak dapat dilakukan sebaiknya di kala risiko bencana itu dianggap "sangat tinggi."

Dalam kenyataan berasingan yang disiarkan di akaun WeChat rasmi, pegawai pemerintah memberi amaran kepada penduduk agar tinggal di rumah atau di tempat selamat dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini.

Perkhidmatan kereta api telah ditangguhkan, sementara lebuh raya pula ditutup dan penerbangan ditangguh atau dibatalkan.