DUNIA
Penyamar Marco Rubio guna kecerdasan buatan hubungi Menteri Luar Negara, pegawai AS - Laporan

Suara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio telah digunakan oleh penyamar dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk menghubungi pegawai kanan AS dan luar negara. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Seorang penyamar yang berpura-pura sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghubungi pegawai kanan AS dan luar negara, lapor The Washington Post pada Selasa, memetik satu kabel Jabatan Negara, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Individu berkenaan menggunakan mesej teks dan suara yang meniru suara serta gaya Rubio untuk berkomunikasi dengan menteri luar dari tiga negara, seorang gabenor negeri AS dan seorang Ahli Kongres AS, menurut laporan itu.
Pihak berkuasa AS masih tidak mengetahui motif sebenar atau siapakah dalang di sebalik tindakan itu.
Namun, mereka percaya ia bertujuan untuk memanipulasi pegawai berkenaan bagi mendapatkan maklumat sensitif atau akses kepada akaun tertentu, menurut laporan itu, memetik seorang pegawai Jabatan Negara yang enggan dinamakan.Penyamar menghantar mesej melalui aplikasi Signal, yang digunakan secara meluas oleh pegawai pentadbiran Trump.
Pada pertengahan Jun, individu itu mencipta akaun menggunakan nama "[email protected]", menurut laporan itu.
"Individu itu meninggalkan pesanan suara di Signal kepada sekurang-kurangnya dua sasaran dan dalam satu kes, turut menghantar mesej teks mengajak individu itu berkomunikasi melalui Signal," kata kabel yang dipetik dalam laporan itu.
Pegawai enggan mendedahkan kandungan mesej atau identiti individu yang menjadi sasaran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami