MINSK: Presiden Belarus, Alexander Lukashenko yakin penyelesaian konflik di Ukraine hanya bergantung kepada Kiev yang perlu bersedia duduk di meja rundingan.

Dalam satu wawancara di pejabatnya, Lukashenko berkata Ukraine dalam masa sama perlu akur bahawa tiada sebarang senjata yang boleh mengancam Rusia.

Pemimpin Belarus itu juga percaya bahawa isu di Donetsk, Luhansk dan Kherson yang merupakan sebahagian Ukraine dilihat tidak lagi dibincangkan.

Justeru, beliau menggesa semua pihak untuk mencapai persetujuan dan menghentikan operasi ketenteraan di Ukraine.

Usaha ke arah perdamaian itu katanya sangat penting kerana perang hanya memburukkan lagi situasi dalam negara terbabit dan juga global.

Sebelum ini, Ukraine bertegas untuk menang dalam perang dengan Russia sebelum musim sejuk bagi mengelak musuhnya itu bertapak di negara itu untuk jangka panjang.