PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada Isnin memberi amaran, tindakan sekutu Barat mengalihkan tentera atau senjata ke kawasan kejiranan Nordik akan menimbulkan tindak balas negara komunis itu.

Beliau turut menegaskan, penyertaan Sweden dan Finland ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak akan menjadi ancaman kepada Rusia.

Katanya, tindakan kedua-dua negara itu tidak memberi sebarang ancaman sama sekali kepada Rusia.

Bagaimanapun, tambahnya, usaha mengembangkan infrastruktur ketenteraan ke wilayah itu pasti akan mencetuskan tindak balas Moscow.

"Mengenai penambahan ahli - termasuk ahli baru Finland dan Sweden - saya ingin mengingatkan, Rusia tidak ada masalah dengan negara-negara itu.

"Oleh itu, tiada sebarang ancaman ke atas Rusia dengan penyertaan dua negara itu. Tetapi, pengembangan infrastruktur ketenteraan ke atas wilayah itu pasti akan mencetuskan tindak balas kami.

"Dan kami akan tentukan bentuk tindak balas berdasarkan ancaman yang timbul nanti," kata Putin pada sidang kemuncak bersama para pemimpin Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) di Moscow.

Dengan kemaraan Moscow di utara wilayah sempadan Ukraine, kini bulan ketiga sejak pencerobohannya, Helsinki dan Stockholm bersedia melepaskan dasar berkecuali ketenteraannya kerana bimbang menjadi sasaran seterusnya.

Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson pada Isnin mengesahkan, negaranya akan memohon untuk menyertai NATO, sehari selepas Finland, yang berkongsi 1,300 kilometer sempadan dengan Rusia, menyuarakan perkara sama.

Langkah itu bagaimanapun belum dimuktamadkan selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengesahkan hasrat negaranya menghalang permohonan itu, menuduh Finland dan Sweden melindungi kumpulan pengganas, termasuk Kurdish yang diharamkan.

Sumber Kementerian Kehakiman Turki memaklumkan, Sweden dan Finland gagal memberi respons positif kepada 33 permohonan ekstradisi Turki sepanjang lima tahun.

Walaupun sebarang bidaan keahlian harus diluluskan sebulat suara oleh semua 30 negara anggota NATO,  Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken menyuarakan keyakinannya bahawa Sweden dan Finland akan menyertai NATO walaupun ditentang Turki.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu akan bertemu Blinken di Washington pada Rabu, di mana bantahan Ankara menjadi agenda paling penting dalam pertemuan tersebut.