Ribuan penyokong Ikhwanul Muslimin berhimpun di hadapan Mahkamah Agung Kaherah bagi membantah perbicaraan bekas Presiden yang digulingkan Mohamed Morsi.

Beberapa siri demontrasi dan perarakan berlangsung sejak minggu lepas menjelang perbicaraan itu yang dijadual pada Isnin.

Mohamed Morsi dituduh menghasut para penyokong untuk membunuh penunjuk perasaan di luar istana Presiden pada 5 Disember tahun lalu. Kerajaan sementara yang baru disokong tentera berharap perbicaraan Mohamed Morsi boleh menutup kontroversi berhubung jawatannya sebelum ini.

Bagaimanapun pemerhati melihat prosiding perbicaraan hanya mengundang lebih banyak masalah kepada politik dan kestabilan Mesir. Kepada tentera, perbicaraan adalah kunci penting untuk menggerakkan proses peralihan demokrasi di negara itu.

Penyokong Mohamed Morsi merancang protes besar-besaran pada Isnin hari di mana bekas presiden itu dijadual dibicarakan. Tahap keselamatan diperketatkan kerana pihak berkuasa bimbang berlaku kejadian tidak diingini semasa prosiding nanti.

Tentera menggulingkan Mohamed Morsi pada 3 Julai lalu dan kini meletakkan beliau dalam tahanan di sebuah lokasi rahsia dengan sebarang bentuk komunikasi dilarang sama sekali.

Sejak peristiwa penggulingan itu Mesir terus terjebak dalam kancah pergolakan dan tidak menunjukkan tanda-tanda kembali kepada keamanan.