Skip to main content

Dunia

Perancis catat lebih 1,000 kematian dalam tempoh lima hari susulan gelombang haba

A person shelters under an umbrella by the Eiffel Tower during high temperatures amid a heatwave in Paris, France, June 27, 2026. REUTERS/Tom Nicholson
Seorang individu berlindung di bawah payung berhampiran Menara Eiffel ketika cuaca panas melampau susulan gelombang haba di Paris, Perancis, pada Sabtu. - Gambar Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Perancis merekodkan lebih 1,000 kematian sejak 24 Jun apabila gelombang haba luar biasa melanda sebahagian besar negara itu, menurut angka awal yang dikeluarkan pada Ahad oleh agensi kesihatan awam negara, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.

Pejabat Kesihatan Awam Perancis memaklumkan, data berkenaan, yang masih bersifat sementara, menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar kematian sepanjang tempoh gelombang haba, dengan majoriti kematian berlebihan melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas.

Agensi itu turut melaporkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam jumlah kematian yang berlaku di rumah.

Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist sebelum ini memberi amaran bahawa kesan kesihatan akibat gelombang haba masih belum berakhir walaupun suhu mula menurun di banyak wilayah. 

Beliau berkata, negara itu kini mencatatkan "jumlah kematian yang lebih tinggi daripada kebiasaan", menurut penyiar Perancis BFMTV.

Sementara itu, perkhidmatan perubatan kecemasan Paris (SAMU) melaporkan 80 kematian pada Sabtu, termasuk 30 kes jantung terhenti, berbanding 109 kematian pada Jumaat.

Pihak berkuasa menjelaskan yang angka itu hanya meliputi kes yang dikendalikan oleh perkhidmatan kecemasan Paris dan tidak mewakili jumlah keseluruhan kematian di ibu negara itu.

Kematian berlebihan itu berlaku selepas 11 hari berturut-turut ketika cuaca panas melampau melanda sebahagian besar Perancis.

Walaupun suhu mula menurun di beberapa wilayah pada Ahad susulan ribut petir yang kuat, hospital masih berdepan tekanan akibat peningkatan kes penyakit berkaitan haba serta komplikasi perubatan yang muncul lewat.

Menurut Balai Cerap Keraunos, lebih 127,000 panahan petir direkodkan di seluruh negara pada Sabtu malam, dengan aktiviti elektrik yang sangat tinggi tertumpu di kawasan Paris hingga ke wilayah Hauts-de-France.

Walaupun keadaan cuaca semakin sejuk, Meteo-France masih mengekalkan amaran gelombang haba tahap jingga bagi 22 jabatan pada Isnin, termasuk Paris dan kawasan sekitarnya, serta beberapa bahagian di tenggara dan timur Perancis.

Pihak berkuasa kesihatan menggesa warga emas serta individu yang tinggal bersendirian agar terus mengambil langkah berjaga-jaga, sambil memberi amaran yang kesan sebenar gelombang haba terhadap nyawa manusia masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement