Skip to main content

Dunia

‘Perancis hanya bersuara selepas Iran bertindak balas’ - Abbas Araghchi kecam sikap berat sebelah Macron

Araghchi Macron
Abbas Araghchi (kanan) mempersoalkan sikap berdiam diri Macron (kiri) ketika serangan awal dilancarkan terhadap fasiliti tenaga dan simpanan bahan api di Tehran. -Gambar fail

TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, membidas kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang menggesa penangguhan serangan ke atas infrastruktur awam tanpa mengutuk siri pencerobohan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Menerusi hantaran di platform media sosial X pada Khamis, Abbas Araghchi mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin Perancis itu ketika serangan awal dilancarkan terhadap fasiliti tenaga dan simpanan bahan api di Tehran.

Advertisement

Beliau menyifatkan kebimbangan yang disuarakan oleh Macron sebagai berat sebelah kerana ia hanya dibangkitkan selepas pihak Iran mula melancarkan serangan balas bagi mempertahankan kedaulatan wilayahnya.

“Macron tidak mengeluarkan sepatah pun kecaman terhadap peperangan Israel-AS ke atas Iran, malah beliau tidak mengutuk Israel ketika mereka meletupkan stor simpanan bahan api di Tehran yang mendedahkan jutaan penduduk kepada toksin berbahaya,” kata Abbas Araghchi dalam hantaran tersebut hari ini.

 

 

Beliau berkata keprihatinan yang ditunjukkan Macron ketika ini hanya muncul susulan tindakan balas Iran, bukannya selepas serangan ke atas fasiliti gas republik itu sebelum ini.

Kenyataan keras Abbas Araghchi ini hadir selepas Macron sebelum ini menggesa agar semua pihak menghentikan serangan ke atas infrastruktur kritikal bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih parah di Asia Barat.

Tehran secara konsisten menuduh pemimpin Barat mengamalkan dasar talam dua muka dalam menangani konflik yang bermula pada 28 Feb lalu, yang menyaksikan kemusnahan besar aset strategik dan kehilangan nyawa pemimpin kanan Iran.

Situasi di Asia Barat kini dilaporkan berada pada tahap paling kritikal dengan amaran silih berganti mengenai serangan udara yang menyasarkan zon industri dan kediaman.

Iran menegaskan bahawa sebarang tuntutan antarabangsa untuk gencatan senjata atau penangguhan serangan mestilah bermula dengan penghentian sepenuhnya pencerobohan oleh pakatan AS-Israel serta pengiktirafan terhadap hak pertahanan diri mereka.
 

Must Watch Video