HAMPIR 20,000 orang kehilangan tempat tinggal di selatan Lubnan dan kawasan lain sejak awal Oktober susulan keganasan meningkat di sempadan Lubnan-Israel berikutan meletusnya perang di Gaza.

Pertubuhan antarabangsa untuk migrasi berkata, 19,646 orang telah menjadi pelarian di dalam Lubnan sejak 8 Oktober.

Agensi itu memaklumkan, pergerakan itu kebanyakannya oleh mereka yang melarikan diri dari selatan Lubnan, manakala sebahagian lain berpindah dari kawasan lain.

Pihak berkuasa Israel juga telah memindahkan berpuluh-puluh bandar dan komuniti dari utara Israel.

Kumpulan Hezbollah Lubnan dan Israel dilaporkan semakin kerap berbalas tembakan di sepanjang sempadan.

Ia disifatkan peningkatan serangan yang paling teruk sejak kedua-dua pihak berperang pada 2006.

Ramai yang melarikan diri dari selatan Lubnan telah berpindah ke utara di bandar pesisir pantai Tyre, iaitu 18 kilometer dari sempadan.

Seorang Ahli Parlimen dari Tyre, Inaya Ezzeddine berkata, pergerakan itu memberi tekanan kepada keluarga yang menjadi tuan rumah kepada pelarian dan kerajaan sebuah negara yang bergelut dengan krisis ekonomi.

Ezzeddine menambah, kira-kira 6,000 orang telah mencari perlindungan di Tyre dan tiga sekolah telah digunakan untuk melindungi sebahagian daripada mereka.

Hezbollah berkata, 27 pejuangnya telah terbunuh dalam pertempuran sejak 7 Oktober.

Manakala sumber keselamatan Lubnan berkata, 11 pejuang dari kumpulan Palestin di Lubnan, yang bersekutu dengan Hezbollah, juga telah maut.

Tentera Israel berkata tujuh tenteranya telah terbunuh di sepanjang kawasan sempadan.