ISTANBUL: Perbahasan Umum peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bermula pada Selasa di New York dengan tema “memulihkan kepercayaan”, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ketua negara dan kerajaan akan berhimpun bagi persidangan edisi ke-81 itu untuk membincangkan cabaran utama berkaitan keselamatan antarabangsa, geopolitik dan ekonomi.
“Memulihkan kepercayaan, mengurus transformasi: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memberikan manfaat untuk semua” menjadi tema rasmi yang menjadi panduan perhimpunan tahun ini.
Persidangan akan bermula di Dewan Perhimpunan Agung, mengikut tradisi diplomatik yang lama diamalkan, dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyampaikan ucapan pembukaan diikuti pemimpin negara tuan rumah, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Senarai pemimpin yang dijadual berucap pada pembukaan sesi pagi termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al Thani, Raja Jordan Abdullah II dan Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov.
Pada sesi seterusnya, Perhimpunan Agung akan mendengar ucapan daripada Presiden Lithuania Gitanas Nauseda, Presiden Peru Keiko Fujimori, Presiden Chile Jose Antonio Kast, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Finland Alexander Stubb, Grand Duke Luxembourg Guillaume serta Presiden Angola Joao Lourenco.
Sesi Perhimpunan Agung secara rasmi bermula pada 8 Sept manakala Perbahasan Umum yang menjadi acara kemuncak berlangsung sehingga 26 Sept sebelum berakhir dengan ucapan penutup pada 28 Sept.
-- BERNAMA-ANADOLU