MOSCOW: Perbelanjaan ketenteraan global meningkat sebanyak 3.7 peratus pada tahun lalu, sekali gus mencapai rekod tertinggi sebanyak AS$2,240 bilion yang menyaksikan perbelanjaan terbesar membabitkan negara Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia, menurut data terkini dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada Isnin.

"Perbelanjaan ketenteraan dunia meningkat pada 2022, tahun kelapan berturut-turut. Setakat ini peningkatan paling mendadak dalam perbelanjaan (+13 peratus) ialah di Eropah," lapor Sputnik.

AS kekal sebagai negara yang paling banyak membelanjakan untuk ketenteraan iaitu mencecah AS$877 bilion pada tahun lepas, mewakili 39 peratus daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan global.

China di tempat kedua dengan perbelanjaan sebanyak AS$292 bilion atau 4.2 peratus lebih berbanding pada tahun 2021, menurut SIPRI.

Perbelanjaan ketenteraan Rusia pula meningkat sebanyak dianggarkan 9.2 peratus iaitu kira-kira US$86.4 bilion.

Sementara itu, perbelanjaan ketenteraan Ukraine menyaksikan peningkatan tahunan tertinggi pada pernah direkodkan dalam data SIPRI yang mencecah AS$44.0 bilion pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 640 peratus.

Bantuan kewangan ketenteraan AS kepada Ukraine berjumlah AS$19.9 bilion merangkumi 2.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan AS.

-- BERNAMA