Skip to main content

Dunia

Presiden Korea Selatan ulangi ganjaran AS$75,000 lapor kes tipu peperiksaan kolej

Lee Jae Myung menegaskan, menipu dalam peperiksaan kemasukan kolej merupakan jenayah yang sama serius dengan rasuah oleh penjawat awam. - Gambar fail
Lee Jae Myung menegaskan, menipu dalam peperiksaan kemasukan kolej merupakan jenayah yang sama serius dengan rasuah oleh penjawat awam. - Gambar fail
Advertisement

SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada Sabtu mengulangi tawaran ganjaran kerajaan sebanyak 100 juta won (AS$75,000) kepada sesiapa yang melaporkan individu yang menipu dalam peperiksaan kemasukan kolej minggu ini, sambil menyifatkan salah laku itu sebagai "jenayah yang sama serius dengan rasuah" melibatkan pegawai kerajaan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Lee menerusi media sosial berkata ganjaran itu akan diberikan bagi setiap kes penipuan, bermakna jumlah ganjaran boleh melebihi 100 juta won sekiranya seseorang melaporkan beberapa kes penipuan sekali gus.

Beliau turut berkata individu yang mengaku melakukan penipuan dalam peperiksaan dan melaporkan rakan subahat lain akan menerima pengurangan hukuman bagi kesalahan sendiri, namun tetap dibayar ganjaran penuh kerana membuat laporan berkenaan.

Advertisement

"Menipu dalam peperiksaan kemasukan kolej merupakan jenayah yang sama serius dengan rasuah oleh penjawat awam," kata Lee.

"Kami akan memburu mereka yang menipu hingga ke akhirnya dan mengenakan hukuman tegas terhadap perbuatan menipu dalam peperiksaan yang merampas hasil usaha sepanjang hayat ratusan ribu calon."

Advertisement

Tawaran ganjaran wang tunai itu merupakan antara langkah antipenipuan yang diperkenalkan kerajaan susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam peperiksaan kebangsaan.

Kebimbangan itu timbul selepas calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan kelayakan akauntan cukai bertauliah tahun ini mengaku menipu dengan bantuan AI dan peranti digital.

Kebimbangan semakin meningkat susulan dakwaan bahawa seorang lelaki berusia 32 tahun yang memperoleh markah penuh dalam Ujian Kelayakan Pendidikan Undang-Undang (LEET) telah menggunakan AI untuk menipu.

Lelaki itu ditemukan meninggal dunia di sebuah motel di Seoul pada hari peperiksaan kemasukan kolej selepas gagal hadir ke sesi peperiksaan secara langsung yang sebelum ini dijanjikannya bagi membuktikan bahawa beliau tidak pernah menipu.

Ujian Keupayaan Skolastik Kolej (CSAT), yang lazim dikenali sebagai Suneung, merupakan kemuncak usaha pembelajaran gigih selama bertahun-tahun bagi kebanyakan pelajar dan dianggap sebagai peristiwa penting dalam kehidupan di Korea Selatan, apabila kemasukan ke universiti boleh mempengaruhi prospek kerjaya mereka secara signifikan.

-- BERNAMA-YONHAP

Must Watch Video

Advertisement