Singapura berharap republik itu akan diberikan lebih banyak masa dan sedikit kefleksibelan selepas Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 hingga 31 Mac.

"Kami berhubung dengan pihak Malaysia untuk mendapatkan sedikit kefleksibelan yang melangkaui tempoh tengah malam ini... sehari atau dua hari bagi membolehkan peralihan itu berlaku," kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

".. perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung," katanya dalam sidang akhbar Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian untuk mengemas kini situasi tempatan berkaitan penularan wabak COVID-19 di republik itu.

Malaysia pada Isnin memutuskan untuk melaksanakan perintah sekatan pergerakan di seluruh negara mulai 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Perintah itu, antara lain merangkumi sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Malaysia ke luar negara selain menghalang kemasukan pelawat dan pelancong asing ke Malaysia.

Kesemua langkah ini telah menjejaskan pemegang pas kerja dan rakyat Singapura selain penduduk tetapnya yang berulang-alik setiap hari ke Malaysia.

Semasa berita ini ditulis (malam tadi), kesesakan berlaku di pusat pemeriksaan kedua-dua negara - Woodlands dan Tuas - beberapa jam sebelum pintu masuk ditutup kepada perjalanan manusia.

Meskipun Singapura sedang menimbang untuk melakukan langkah sekatan keluar masuk di republik itu, Wong berkata ia tidak boleh dikesampingkan meskipun bukan pertimbangan ketika ini.

"Kami sentiasa menyatakan bahawa kami perlu menimbangkan pelbagai langkah dan tidak mengesampingkan sebarang pilihan.

"Kami boleh menimbangkan keputusan besar yang tidak membabitkan langkah sekatan keluar masuk namun yang menyaksikan penutupan sekolah, tempat kerja buat sementara waktu, bagi tempoh dua atau tiga minggu seperti Malaysia, namun ia hanya bersifat menangguhkan aktiviti-aktiviti dan bukan sekatan keluar masuk."

-- BERNAMA