Skip to main content

Dunia

Perjanjian damai: Ini 14 kandungan MoU AS-IRAN

A person sits on shallow water as cargo and commercial vessels are anchored in the Strait of Hormuz off Bandar Abbas, Iran, Monday, June 8, 2026. (Amirhosein Khorgooi/ISNA via AP)
Iran akan memastikan laluan kapal komersial melalui Selat Hormuz dibuka semula tanpa sebarang caj. - Foto fail/AP

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang ditandatangani pada Rabu mengandungi 14 perkara utama yang menjadi asas kepada usaha menamatkan konflik antara kedua-dua negara selepas hampir empat bulan peperangan.

Pentadbiran Presiden Donald Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai "berasaskan prestasi", dengan sebarang manfaat kepada Iran hanya akan diberikan sekiranya negara itu mematuhi komitmen yang dipersetujui.

1. Penamatan konflik di semua medan

AS, Iran dan sekutu masing-masing akan menghentikan semua operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal, termasuk di Lubnan.

Kedua-dua pihak juga berjanji tidak akan melancarkan serangan atau ancaman baharu antara satu sama lain, selain menghormati kedaulatan Lubnan.

2. Hormati urusan dalaman

Washington dan Tehran bersetuju menghormati kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing.

Mereka juga berikrar tidak akan campur tangan dalam urusan politik dan hal ehwal dalaman negara satu sama lain.

3. Rundingan perjanjian akhir dalam tempoh 60 hari

Kedua-dua pihak bersetuju mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh maksimum 60 hari.

Tempoh itu bagaimanapun boleh dilanjutkan sekiranya dipersetujui bersama.

4. AS tamatkan sekatan laut

AS akan mula menarik balik sekatan laut dan halangan yang dikenakan terhadap pelabuhan Iran.

Langkah itu dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh 30 hari selepas pelaksanaan perjanjian.

5. Pembukaan semula Selat Hormuz

Iran akan memastikan laluan kapal komersial melalui Selat Hormuz dibuka semula tanpa sebarang caj.

Laluan itu dijangka beroperasi semula sebaik kerja pembersihan periuk api dan halangan keselamatan selesai dilaksanakan.

6. Dana pembangunan Iran

AS dan rakan serantau akan merangka pelan pembangunan serta pembinaan semula Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.

Bagaimanapun, Washington menegaskan dana itu tidak semestinya dibiayai secara langsung oleh kerajaan AS.

7. Penamatan sekatan ekonomi

AS bersetuju menamatkan semua sekatan ekonomi terhadap Iran termasuk yang berkaitan dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jadual pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam rundingan susulan.

8. Tiada senjata nuklear

Iran bersetuju tidak akan memperoleh atau membangunkan senjata nuklear.

Sebagai balasan, pelonggaran sekatan akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan tahap pematuhan Tehran terhadap komitmen tersebut.

9. Kekalkan status quo program nuklear

Program nuklear Iran akan dikekalkan pada tahap semasa sementara penyelesaian muktamad dicapai.

AS pula tidak akan mengenakan sekatan baharu sepanjang tempoh rundingan berlangsung.

10. Pengecualian eksport minyak

Washington akan memberikan pengecualian tertentu bagi eksport minyak, produk petroleum dan urusan berkaitan.

Langkah itu bertujuan membantu pemulihan ekonomi Iran sepanjang proses pelaksanaan perjanjian.

11. Pelepasan dana beku Iran

AS akan membenarkan akses semula kepada dana Iran yang dibekukan atau disekat sebelum ini.

Sebahagian dana dijangka dilepaskan secara berperingkat mengikut perkembangan pelaksanaan perjanjian.

12. Mekanisme pemantauan

Kedua-dua negara akan menubuhkan mekanisme khas bagi memantau pelaksanaan MoU.

Mekanisme itu juga bertanggungjawab memastikan setiap komitmen dipatuhi oleh kedua-dua pihak.

13. Rundingan perjanjian muktamad

Selepas pelaksanaan MoU bermula, AS dan Iran akan memulakan rundingan ke arah perjanjian damai yang lebih menyeluruh.

Rundingan itu akan menentukan kaedah pelaksanaan bagi semua perkara yang dipersetujui.

14. Kelulusan Majlis Keselamatan PBB

Perjanjian akhir yang dicapai kelak akan disahkan menerusi resolusi mengikat Majlis Keselamatan PBB.

Langkah itu bertujuan memberikan jaminan undang-undang antarabangsa terhadap pelaksanaan perjanjian berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement