BAITULMUQADDIS: Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilapor memberi tamparan hebat kepada kredibiliti serta masa depan politik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Sejak perjanjian itu dimeterai, Netanyahu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, ketika tekanan politik domestik semakin meningkat, lapor BBC.
Tindakan berdiam diri itu menyusul ketika Netanyahu berhadapan dengan desakan yang semakin meningkat daripada pelbagai spektrum politik Israel untuk mengingkari pentadbiran Donald Trump dan meneruskan operasi ketenteraan menentang Hezbollah di Lubnan.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga sekutu kuat Netanyahu, Danny Danon secara terbuka menyifatkan perjanjian gencatan senjata itu sebagai sangat buruk buat Israel.
Perjanjian tajaan AS itu antara lain menetapkan komitmen untuk menghentikan permusuhan di Lubnan dan menghormati kedaulatan negara itu, ketika tentera Israel masih berada di sebahagian wilayah berkenaan.
Ahli parlimen pembangkang, Michael Biton berkata tindakan tegas terhadap Hezbollah perlu diteruskan sebelum sebarang gencatan senjata dipertimbangkan.
“Kami mesti melumpuhkan keupayaan ketenteraan Hezbollah sebelum bercakap mengenai gencatan senjata,” katanya.
Sebelum ini, Netanyahu kelihatan cuba menjauhkan diri daripada proses berkenaan dengan memaklumkan stesen televisyen tempatan bahawa rundingan tersebut dipimpin sepenuhnya oleh Trump.
"Saya telah menyatakan pandangan saya dalam pelbagai perbincangan. Seperti yang saya katakan, kami sering bersetuju, dan kami juga sering tidak bersetuju.
"Perkara itu biasa berlaku dalam sesebuah keluarga," katanya yang dipetik portal berita Fox News.
Meskipun Israel tidak terlibat secara langsung dalam rundingan damai tersebut, Trump mengesahkan pihaknya telah menghantar salinan teks akhir perjanjian kepada Tel Aviv sebelum ia ditandatangani.
Kemasukan Lubnan di dalam syarat perjanjian damai tersebut dilihat oleh penganalisis sebagai isyarat jelas pengukuhan pengaruh Tehran, sekali gus mencetuskan keretakan diplomatik terbesar antara Israel dan sekutu kuatnya, AS.