Skip to main content

Dunia

Perlanggaran kereta api di utara London ragut nyawa, puluhan cedera

Emergency service workers and people gather near the scene of a collision involving two trains near Bedford, Britain, June 19, 2026. Picture taken with a mobile phone. Dr Pete Knapp/via REUTERS
Anggota perkhidmatan kecemasan dan orang ramai berkumpul berhampiran lokasi perlanggaran melibatkan dua kereta api berhampiran Bedford, Britain. - Foto REUTERS
Advertisement

LONDON: Seorang maut manakala puluhan lagi cedera selepas dua kereta api penumpang bertembung berhampiran Bedford, kira-kira 100 kilometer di utara London, menurut pihak berkuasa Britain.

Polis Pengangkutan British (BTP) memaklumkan insiden itu berlaku pada petang Jumaat dan melibatkan dua kereta apikendalian East Midlands Railway, dengan sebuah lereta api dipercayai merempuh bahagian belakang kereta api lain.

Perkhidmatan Ambulans Timur England mengesahkan lebih 20 ambulans serta beberapa ambulans udara dihantar ke lokasi kejadian, dengan pihak berkuasa mengisytiharkan insiden besar.

Menurut laporan awal, kira-kira 89 orang cedera dalam nahas itu, termasuk 11 mangsa dalam keadaan sangat serius dan 22 lagi mengalami kecederaan serius, manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menjauhi kawasan kejadian bagi memudahkan operasi menyelamat dan mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan kecemasan.

Kesatuan pekerja rel mengesahkan individu yang maut adalah pemandu salah satu kereta api yang terlibat.

Insiden itu berlaku sekitar jam 5 petang waktu tempatan dan dipercayai membabitkan laluan antara Luton dan Bedford.

Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan bahagian hadapan sebuah kereta api bertindih dengan bahagian belakang kereta api lain, dengan penumpang dilihat keluar dari gerabak yang rosak.

Beberapa penumpang menggambarkan kejadian itu sebagai “letupan kuat” dengan ramai yang tercampak dari tempat duduk serta mengalami kecederaan.

Menteri Kesihatan Britain, James Murray, berkata beliau sentiasa menerima maklumat terkini mengenai insiden tersebut dan berterima kasih kepada pasukan kecemasan yang bertindak pantas.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Heidi Alexander, menyatakan beliau “amat bimbang” dengan kejadian itu dan memberi jaminan pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan industri rel untuk membantu mangsa terlibat.

Pihak polis dan agensi berkaitan kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar perlanggaran tersebut.

Insiden itu turut menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan kereta api di laluan utama keluar masuk London, dengan penumpang dinasihatkan mencari alternatif perjalanan.

Nahas ini merupakan antara insiden rel paling serius di Britain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
 

 

Must Watch Video

Advertisement