Skip to main content

Dunia

Permintaan makanan laut meningkat, bawa durian runtuh kepada nelayan sempena TBC

81526891229_beliikan.jpg
Permintaan terhadap ikan, udang, sotong, kurita dan udang karang terus berkembang ketika lebih satu bilion penduduk dunia bersiap sedia meraikan TBC. - Gambar hiasan/Bernama

PHNOM PENH: Permintaan terhadap makanan laut melonjak ketika komuniti di seluruh dunia bersiap sedia menyambut Tahun Baharu Cina (TBC) dengan hidangan tradisi yang melambangkan tuah dan jamuan makan besar keluarga pada akhir bulan ini.

Tahun Kuda dalam zodiak Cina terbukti membawa kemakmuran kepada nelayan yang sanggup meredah laut bergelora bagi memenuhi permintaan pasaran perayaan yang berkembang pesat.

Advertisement

Komuniti pesisir pantai Vietnam - antara pengeksport makanan laut utama dunia - berada dalam suasana penuh keyakinan apabila negara itu mencatatkan peningkatan eksport sebanyak 13 peratus pada Januari, yang bernilai RM3.4 bilion (AS$874 juta), lapor Vietnam News.

“Permintaan terhadap makanan laut di China dan pasaran utama Asia Tenggara dijangka meningkat dengan ketara menjelang Tahun Baharu Cina, dengan penggunaan lebih tertumpu kepada produk segar, hidup dan bernilai tinggi.

“Khususnya, permintaan terhadap tuna gred sasyimi lazimnya meningkat sepanjang tempoh perayaan, disokong oleh aktiviti perkhidmatan makanan yang lebih rancak serta peningkatan perbelanjaan isi rumah,” kata Pegawai Promosi Perdagangan Infofish yang berpangkalan di Malaysia, Sharmaine Siaguru-Gauthier kepada Bernama.

Infofish merupakan organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

Permintaan terhadap ikan, udang, sotong, kurita dan udang karang terus berkembang ketika lebih satu bilion penduduk dunia bersiap sedia meraikan perayaan tahunan yang jatuh pada 17 Feb ini.

Bekalan udang ternakan di seluruh Asia kekal terhad secara bermusim sehingga Februari, manakala permintaan terhadap udang hidup dan segar diunjurkan meningkat mendadak di pasaran utama, termasuk China, Malaysia, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Macau, kata Sharmaine.

“Selain itu, permulaan Ramadan pada pertengahan Februari dijangka memperlahankan sementara aktiviti akuakultur di Indonesia dan selatan Thailand, yang akan menjadikan ketersediaan udang serantau lebih terhad dan membantu mengekalkan harga pada paras tinggi hingga akhir Februari,” katanya.

Myanmar, satu lagi pengeluar utama makanan laut, mengeksport 227,000 tan ikan bernilai RM1 bilion (AS$279 juta) dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025.

Produk perikanan seperti ikan terubuk, rohu, siakap, belut, udang dan ketam dieksport terutamanya ke China sebagai pembeli utama.

Peningkatan permintaan makanan laut menjelang Tahun Baharu Cina didorong oleh tradisi budaya yang telah lama diamalkan, peningkatan aliran perdagangan ke pasaran utama serta perniagaan yang meningkatkan bekalan sebagai persediaan menghadapi antara tempoh penggunaan bermusim terbesar tahun ini.

Bagaimanapun, tarif perdagangan timbal balas Amerika Syarikat (AS) mula memberi tekanan kepada pengeluar makanan laut.

Menurut Infofish, tarif AS yang lebih tinggi yang diperkenalkan sejak akhir Ogos 2025 telah mula menjejaskan eksport makanan laut daripada pembekal utama Asia termasuk Vietnam dan Indonesia.

Import AS bagi tuna bukan dalam tin merosot berbanding tempoh sama tahun sebelumnya bagi Januari hingga Oktober 2025, dengan filet tuna sejuk beku mencatatkan penyusutan ketara, manakala volum penghantaran menurun bagi semua negara pembekal utama.

“Trend yang sama turut dilihat bagi udang, apabila jumlah import AS menurun dalam tempoh sama susulan pengenalan tarif yang lebih tinggi.

“Walaupun sebahagian perdagangan tahunan disokong oleh penghantaran awal sebelum tarif berkuat kuasa, persekitaran pascatarif jelas melemahkan permintaan dan mengurangkan daya saing pengeksport serantau.

“Akibatnya, pembekal seperti Vietnam dan Indonesia kini terdedah kepada minat pembelian AS yang lebih lemah dan dijangka memberi penekanan lebih besar kepada pasaran alternatif, khususnya di Asia dan China, ketika permintaan bermusim kini semakin mengukuh,” kata Sharmaine.

-- BERNAMA

Must Watch Video