LA GUAIRA: Tindakan pihak berkuasa Venezuela merobohkan bangunan yang tidak lagi selamat selepas gempa bumi kuat melanda negara itu kini menimbulkan cabaran baharu kepada usaha mencari mangsa yang masih hilang di bawah timbunan runtuhan.
Sejak gempa bumi berkembar melanda Venezuela pada 24 Jun lalu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan tanpa henti di kawasan terjejas, khususnya di negeri pesisir La Guaira yang mengalami kemusnahan teruk akibat runtuhan bangunan.
Menurut laporan, hampir 190 bangunan runtuh manakala ratusan lagi mengalami kerosakan serius akibat bencana itu.
Beberapa struktur yang dikenal pasti berisiko runtuh telah mula dirobohkan secara terkawal bagi mengelakkan ancaman terhadap keselamatan orang ramai dan pasukan penyelamat.
Bagaimanapun, langkah berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga mangsa yang masih berharap dapat menemukan mayat ahli keluarga mereka yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Di Caraballeda, antara kawasan paling teruk terjejas, Glenda Viloria masih meneruskan pencarian anak saudara lelakinya yang berusia tiga tahun selepas enam minggu tragedi itu berlaku.
Beliau sebelum ini berjaya menemui mayat enam anggota keluarganya, termasuk ibu dan kakaknya, namun kanak-kanak berkenaan masih belum ditemukan.
Viloria berkata kerja pembersihan menggunakan jentera berat dan penghapusan sisa runtuhan menyebabkan peluang untuk mencari mangsa semakin sukar, walaupun operasi itu diperlukan bagi memulihkan kawasan yang musnah.
Pada 30 Julai lalu, sebuah menara kediaman di Catia La Mar dirobohkan selepas pakar mengisytiharkan bangunan itu berisiko runtuh.
Ia merupakan bangunan pertama yang dimusnahkan menerusi letupan terkawal, dengan lebih banyak perobohan dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat.
Gempa bumi berkembar berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang melanda Venezuela pada Jun lalu mengorbankan ribuan orang serta menyebabkan puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal.
Operasi mencari mangsa masih diteruskan di beberapa lokasi walaupun harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin tipis.
Ketika pihak berkuasa beralih kepada fasa pemulihan dan pembinaan semula, keluarga mangsa terus menggesa agar pencarian diteruskan sebelum lebih banyak bangunan dan timbunan runtuhan dihapuskan.