Skip to main content

Dunia

Pertemuan Putin, Zelenskyy bakal diatur dalam masa terdekat - Trump

Trump berkata beliau telah membincangkan kedua-dua konflik itu bersama Setiausaha Negara Marco Rubio dan Utusan Khas Steve Witkoff ketika berada dalam pesawat Air Force One. - Reuters
Trump berkata beliau telah membincangkan kedua-dua konflik itu bersama Setiausaha Negara Marco Rubio dan Utusan Khas Steve Witkoff ketika berada dalam pesawat Air Force One. - Reuters

Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada awal Rabu berkata pertemuan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy akan diatur dalam masa terdekat, selain tidak menolak kemungkinan AS melancarkan serangan lanjut terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal minggu depan.

Bercakap kepada pemberita selepas pulang daripada perhimpunan kempen di Texas, Trump berkata beliau telah membincangkan kedua-dua konflik itu bersama Setiausaha Negara Marco Rubio dan Utusan Khas Steve Witkoff ketika berada dalam pesawat Air Force One, lapor Anadolu Ajansi.

"Saya rasa kita mencapai banyak kemajuan dalam isu Rusia-Ukraine. Satu pertemuan akan diatur tidak lama lagi," kata beliau.

Ketika ditanya mengenai pihak yang akan menghadiri pertemuan itu, Trump menamakan Putin dan Zelenskyy, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai tarikh, lokasi atau format pertemuan berkenaan.

Moscow dan Kyiv kali terakhir mengadakan rundingan damai dengan pengantaraan AS awal tahun ini, membabitkan tiga pusingan rundingan pada Januari dan Februari di Abu Dhabi serta Geneva.

Pertemuan antara kedua-dua presiden itu, sekiranya berlangsung, akan menjadi yang pertama sejak perang bermula pada 2022.

Mengenai Iran, Trump mendakwa Tehran mahu mencapai persetujuan dengan AS tetapi melengahkan rundingan, kemungkinan sehingga selepas pilihan raya pertengahan penggal pada 3 Nov.

"Saya rasa kita berada dalam kedudukan yang sangat baik berhubung Iran. Persoalannya, bilakah saya mahu menamatkannya?" kata beliau sambil mengulangi pendiriannya baru-baru ini mengenai konflik itu.

Ditanya sama ada beliau merancang serangan lanjut terhadap Iran selepas pilihan raya, Trump tidak memberikan jawapan muktamad.

"Segala-galanya mungkin berlaku, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda," katanya.

Peperangan antara Washington dan Tehran bermula susulan serangan AS-Israel terhadap Iran pada akhir Februari, yang mencetuskan konflik lebih meluas di rantau itu dan masih belum diselesaikan meskipun gencatan senjata dicapai serta persetujuan untuk memuktamadkan perjanjian damai dimeterai.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement