Pesawat kargo tentera Sudan terhempas, semua kru maut

Pesawat itu mengalami kerosakan teknikal pada sayap kanan yang menyebabkan kehilangan keseimbangan dan mengakibatkan kebakaran. - via Sinar Harian
KHARTOUM / ISTANBUL: Sebuah pesawat kargo tentera Sudan terhempas lewat Selasa di negeri Kordofan Barat, selatan Sudan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan Angkatan Tentera Sudan (SDF).
Menurut kenyataan tentera, pesawat itu mengalami kerosakan teknikal pada sayap kanan yang menyebabkan kehilangan keseimbangan dan mengakibatkan kebakaran. Pesawat itu terhempas beberapa puluh kilometer di kawasan sebelah barat kedudukan tentera Sudan.
Pesawat itu sedang menjalankan misi penghantaran bekalan udara kepada unit tenteranya di bandar Babanusa yang sedang ditawan, yang tentera Sudan sedang berdepan pertempuran dengan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), menurut kenyataan itu lagi.
Semua kru maut dalam nahas itu, namun tentera tidak mendedahkan angka kematian.
Terdahulu pada hari yang sama, RSF mendakwa bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat tentera selepas dakwaan serangan ke atas tenteranya di kawasan berkenaan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Sudan melakukan penghantaran bekalan udara bagi menyokong pasukannya di Babanusa, yang berulang kali diserang oleh RSF.
Ketiga-tiga negeri Kordofan iaitu Utara, Barat dan Selatan baru-baru ini menyaksikan pertempuran sengit antara tentera Sudan dan RSF.
Kumpulan pemberontak RSF juga menawan El Fasher, ibu negeri Darfur Utara pada 26 Okt dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, yang memberi amaran bahawa penaklukan boleh mengukuhkan pembahagian geografi dalam negara yang dilanda perang itu.
Sejak April 2023, tentera Sudan dan RSF terperangkap dalam perang saudara yang mengorbankan ribuan nyawa, menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan krisis kemanusiaan antara terburuk di dunia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


