SAN FRANCISCO: Sebuah pesawat sewa khas yang membawa lapan individu terhempas pada Khamis berhampiran tapak radar terpencil di barat Alaska, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan yang merujuk pihak berkuasa.
Ketua Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) bagi wilayah Alaska Clint Johnson berkata dua juruterbang dan enam penumpang berada di dalam pesawat itu, yang berlepas dari Anchorage dan dipercayai terhempas pada awal petang Khamis ketika menghampiri Cape Newenham.
Pusat Penyelarasan Menyelamat Alaska memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat dilancarkan selepas menerima laporan mengenai insiden pesawat berhampiran Tapak Radar Jarak Jauh Cape Newenham.
Maklumat lanjut akan diumumkan apabila diperoleh, menurut pusat itu.
-- BERNAMA-XINHUA